Hari ini, 15 Ramadhan 1429 saya menjumpai diri saya 9 tahun yang lepas, bertarikh 22 Ramadhan 1420 ketika saya berada di Mesir. Maksud saya, saya menjumpai tulisan saya pada tarikh tersebut yang dipetik satu laman blog. Tulisan saya itu bertajuk Wajarkah Wanita Berpolitik? Secara kebetulan, tulisan tersebut ditulis pada bulan Ramadhan dan saya menjumpainya semula pada bulan Ramadhan, pada ketika saya begitu meragui laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang akan memperjuangkan persamaan gender dalam satu majlis tidak lama dulu.
Ramadhan, seperti yang dimaklumi ramai orang, adalah bulan diturunkan Al-Quran. Jadi, sepatutnya sebagai umat Islam, kita menjadikan bulan mulia ini sebagai masa untuk kita menilai diri sendiri sejauhmana kita menghayati ajaran Al-Quran, bukannya sekadar berlumba untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Al-Quran adalah kitab panduan dan rujukan peraturan dalam semua aspek kehidupan Maka, tajuk artikel Wajarkah Wanita Berpolitik?, seperti mengajak saya untuk menilai persoalan tersebut berdasarkan panduan Al-Quran, bila ia mencuit tumpuan saya 2 hari sebelum tibanya Nuzul Quran (17 Ramadhan). Ya, sebagaimana saya mengupas persoalan tersebut pada Ramadhan 1420, saya cuba untuk membahaskannya kembali pada Ramadhan kali ini.
Untuk mengupas kembali persoalan tersebut, elok saya muatkan kembali artikel saya itu untuk kita sama-sama memikirkannya. Saya rasa, ia masih tetap relevan walaupun beberapa fakta dalam artikel tersebut hanya bersesuaian ketika ia ditulis (tahun 1999).
*****************************
Wajarkah Wanita Berpolitik?
Antara isu yang sentiasa hangat diperkatakan atau evergreen ialah isu wanita. Sejak dulu lagi, isu wanita tidak pernah lapuk malah ia selalu menjadi isu kontroversi walaupun hakikatnya ia bukan kontroversi sekiranya kita melihat dan menilainya dari sudut pandangan syarak. Isu-isu seperti penglibatan wanita dalam politik, isu poligami, pendedahan aurat, pengeksploitasian dan diskriminasi wanita dan seumpamanya sentiasa menjadi tajuk perbincangan yang seolah-olah tidak pernah selesai.
Untuk tidak melebarkan perbincangan, saya hanya ingin menyentuh tentang penglibatan wanita dalam politik. Kebetulan pula negara kita baru selesai mengadakan pilihanraya pada 29 November yang lepas dan keputusannya telah sama-sama kita ketahui. Semasa pilihanraya inilah, pendirian Parti Islam se-Malaysia (PAS) yang tidak meletakkan calon wanita dijadikan modal kempen oleh parpol-parpol yang tidak bersetuju dengan Pas terutamanya UMNO. Pas ditohmah kononnya telah mendiskriminasi golongan wanita kerana menafikan hak mereka.Betulkah begitu?
Sebelum menjawab soalan tersebut, sudah tentu terlebih dahulu kita perlu menjawab persoalan; wajarkah wanita berpolitik? Atau haruskah dan bolehkan wanita berpolitik? Kalau kita memahami maksud politik yang sebenarnya, tanpa ragu-ragu kita akan mengatakan; wajar, harus, boleh bahkan perlu wanita melibatkan diri dalam politik. Orang yang mengatakan wanita tidak boleh berpolitik sebenarnya telah tersilap dalam memahami maksud politik. Mereka ini memahami politik dari sudut yang sempit.
Secara umumnya politik bermaksud hal ehwal yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran sama pengurusan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam aspek yang lebih khusus, kita hari ini lebih melihat bahawa politik ialah yang berkaitan dengan soal-soal kenegaraan, kepimpinan dan bagaimana sesebuah negara itu ditadbir dan juga meliputi hubungan antara sebuah negara dengan negara yang lain. Jadi, penglibatan dalam politik bermakna melibatkan diri dalam menentukan kepimpinan dan corak pentadbiran sesebuah negara.
Kalau begitu, betulkah tohmahan yang mengatakan bahawa tindakan tidak membenarkan wanita menjadi calon dalam pilihanraya adalah menafikan hak wanita untuk berpolitik? Bukankah dengan membenarkan wanita mengundi, berkempen dan merayu undi merupakan sumbangan yang besar dalam menentukan pemimpin dan corak pentadbiran sesebuah negara? Dengan perkataan lain, Pas tidak menafikan hak wanita untuk berpolitik dan tidak juga hak mereka untuk mencorakkan politik negara.
Ternyata tohmahan yang mengatakan Pas mendiskriminasi wanita atau menafikan hak mereka untuk berpolitik semata-mata kerana Pas tidak meletak calon wanita adalah tohmahan daripada orang-orang yang jahil politik.Ataupun mereka faham politik, tetapi sengaja mengambil kesempatan daripada senario tersebut sebagai modal kempen. Ataupun lebih terang dan nyata, orang-orang yang membuat tohmahan tersebut menampakkan bahawa mereka jahil Islam.
Islam tidak menghalang wanita berpolitik malah mewajibkan semua orang Islam supaya mengambil berat aspek politik dalam konteks menentukan pemimpin yang akan memimpin mereka. Menentukan pemimpin bermakna menentukan siapa yang berkuasa dan memerintah negara.Adakah masuk akal sekiranya wanita yang juga merupakan sebahagian daripada golongan yang dipimpin atau diperintah tidak boleh atau tidak diberi hak untuk menentukan siapa yang memerintah mereka?
Kalau wanita tidak boleh berpolitik, kenapa Rasulullah SAW menerima baiah daripada wanita di ‘Aqabah dan Madinah? Kalau wanita tiada hak dalam menentukan siapa pemimpin mereka, bukankah hanya memadai dengan Rasulullah SAW menerima baiah daripada kaum lelaki sahaja tanpa perlu melibatkan wanita? Tetapi yang telah berlaku tidak begitu, bahkan secara jelas disebut dalam surah Mumtahanah ayat 12 bahawa wanita membaiah Rasulullah SAW.
Firman Allah maksudnya, “Wahai Nabi, apabila datang kepadamu wanita-wanita yang beriman untuk mengadakan janji setia (baiah)…………maka terimalah baiah mereka dan mohonkanlah keampunan Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Ayat ini menguatkan bahawa baiah wanita berasingan daripada baiah lelaki. Mereka ada hak yang tersendiri. Perintah Allah kepada Nabi SAW supaya menerima baiah mereka menunjukkan penglibatan wanita penting dan perlu.
Jadi, ayat ini menjadi dalil bahawa wanita boleh mengundi dan mereka ada hak untuk mengundi bagi menentukan pemimpin yang akan memerintah mereka. Penafian terhadap wanita dalam menentukan pemimpin mereka atau menentukan wakil mereka dalam parlimen atau majlis syura sesebuah negara bukan sahaja menafikan hak, malah menafikan kewajipan. Dalam hal ini, pada pandangan saya, keputusan sidang Majlis Negara Kuwait baru-baru ini yang tidak membenarkan wanita mengundi, tidak sepatutnya berlaku.
Melantik pemimpin adalah wajib dan wajib melantik pemimpin dari kalangan orang-orang beriman yang tidak cenderung kepada kekufuran. Tidak mungkinkah mengundi menjadi wajib sekiranya itulah wasilah dalam menentukan pemimpin yang sesuai dengan perintah Allah SWT. Kaedah feqh menyebut, “Sesuatu perkara yang tidak sempurna perkara wajib kecuali dengannya (perkara tersebut), maka perkara itu menjadi wajib.”
Cuba kita bayangkan, sekiranya golongan yang mendukung perjuangan Islam dan bermatlamatkan menegakkan syariat Islam tidak membenarkan wanita mengundi tetapi sebaliknya golongan yang menentang mereka (menentang perjuangan Islam) memberi kebebasan kepada wanita mereka untuk mengundi? Apakah yang akan berlaku? Bukankah ini satu mudharat kepada Islam dan bukankah kemudharatan itu wajib dicegah?
Kalau tidak mengundi menyebabkan mudharat dan mudharat wajib dicegah, maka, pencegahan kepada mudharat iaitu membenarkan wanita mengundi, menjadi wajib.Berhubung dengan pilihanraya juga, saya ingin menyentuh tentang pencalonan wanita sebagai wakil rakyat. Ini termasuk juga pelantikan wanita sebagai menteri kerana biasanya menteri dilantik daripada wakil rakyat yang mewakili sesuatu kawasan parlimen atau dilantik terus daripada ahli Dewan Negara (senator).
Persoalan yang ingin saya ketengahkan di sini ialah, wajarkah atau haruskah wanita menjadi wakil rakyat atau menjadi menjadi menteri? Dalam persoalan ini, saya bukannya hendak mengeluarkan fatwa atau memutuskan hukum tetapi sekadar memberikan pandangan selagimana ruang untuk berbicara dan berbincang secara ilmiah terbuka luas tanpa unsur taasub dan emosi. Pendapat saya dalam hal ini, secara peribadi saya tidak bersetuju wanita menjadi wakil rakyat (sudah tentu dengan meletakkan calon wanita dalam pilihanraya) dan juga menjadi menteri. Pendapat saya ini adalah dalam konteks negara kita, Malaysia.
Kalau kita menganggap bahawa wakil rakyat, sama ada peringkat Parlimen (Dewan Rakyat) atau Dewan Undang Negeri (DUN) adalah pemimpin bagi penduduk yang diwakili olehnya secara wilayah ‘ammah, maka tidak harus wanita menduduki tempat tersebut, kerana sudah tentu dia juga pemimpin kepada kaum lelaki di kawasan yang diwakili olehnya. Tidak adakah lelaki yang layak? Dalam solat sebagai contoh, wanita boleh jadi imam sekiranya lelaki yang ada tidak layak seperti gila dan seumpamanya.
Kalau kedudukan wakil rakyat hanyalah sebagai wakil bagi menyuarakan masalah penduduk bagi kawasan yang diwakilinya olehnya dan juga hal ehwal yang berlaku di kawasan tersebut dalam sidang Dewan Rakyat (DR) atau DUN dan tanggungjawab lain wakil rakyat, ternyata tugas tersebut tidak sesuai bagi wanita. Tidak ada maslahah atau keperluan dharuri yang memerlukannya menjadi wakil rakyat kerana tugas tersebut ternyata lebih sesuai dilakukan oleh lelaki.
Kalau hujah mereka yang mengatakan wanita perlu menjadi wakil rakyat (di Malaysia) atas dasar untuk menyuarakan pandangan wanita dalam parlimen khususnya dalam membela hak-hak mereka, sebenarnya wakil rakyat lelaki yang memahami Islam lebih membela wanita daripada wakil rakyat wanita yang jahil Islam. Jadi, kita tidak perlu wakil rakyat wanita untuk tujuan membela wanita kerana tugas tersebut boleh dilakukan oleh lelaki.
Dari aspek lain, tugas seorang wakil rakyat bukan semata-mata bercakap di DR, tetapi dia perlu keluar menemui rakyat, bergaul dengan mereka bagi mengetahui masalah mereka, seterusnya berfikir dan mencari penyelesaiannya. Wakil rakyat, menjadi tempat rakyat untuk mengadu masalah dan memohon peruntukan pembangunan dan lain-lain. Pendek kata, wakil rakyat perlu mengambil berat hal ehwal rakyat yang diwakili olehnya dan juga bertanggungjawab terhadap apa-apa yang berlaku di kawasannya. Kalau tidak, bagaimana dia hendak menyuarakannya dalam sidang DR atau DUN.
Bagaimana seorang wanita yang menjadi wakil rakyat memikul tanggungjawab sebegini rupa dan dalam masa yang sama dia perlu memikirkan tanggungjawab terhadap rumahtangganya. Pada ketika dia memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan suri rumah dan memikirkan masalah-masalah yang berkaitan, wakil rakyat wanita juga menjadi ‘bapa’ kepada rakyat yang diwakili olehnya dan bertanggungjawab memikirkan masalah mereka. Dalam keadaan itu, amat sukar untuk memastikan salah satu daripada tugas tersebut tidak terjejas.
Tugas dan tanggungjawab utama wanita ialah rumahtangga. Wanita dicipta dan difitrahkan oleh Allah SWT dari segi biologi dan psikologinya yang berbeza dengan lelaki supaya sesuai dengan tugasnya sebagai suri rumah. Perbezaan antara lelaki dan wanita ini bukannya sia-sia. Kejadian lelaki, sama ada dari aspek fizikal dan mental disesuaikan untuk melakukan tugas-tugas berat yang bersifat luaran, manakala wanita dijadikan dengan sifat yang lebih halus dan lembut daripada lelaki disesuaikan untuk melakukan tugas-tugas keibuan dan kesurirumahtanggaan yang bersifat dalaman.
Inilah yang dinamakan sebagai keseimbangannya dan pembahagian tugas sesuai dengan sifat dan kemampuan masing-masing. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah tugas wakil rakyat bukannya tugas wanita dan bukan keutamaannya kerana tidak sesuai dengan fitrah mereka dan juga wanita perlu menumpukan tugas sebagai suri rumahtangga kerana itulah keutamaan mereka. Tugas wanita sebagai rabbatul bait (suri rumahtangga) akan dipertanggungjawabkan dan akan ditanya oleh Allah SWT kerana itulah tanggungjawab khusus bagi mereka.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Setiap seorang daripada kamu adalah pemimpin (penanggungjawab) dan setiap kamu akan disoal (dipertanggungjawabkan) tentang apa yang dipimpin olehnya. Ketua adalah pemimpin dan lelaki adalah pemimpin ahli keluarganya dan wanita adalah pemimpin terhadap rumahtangga suami dan anak-anaknya, maka setiap kamu adalah pemimpin dan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin olehnya (Muttafaq ‘alaih).
Jadi, sekiranya tugas menjadi wakil rakyat menyebabkan seseorang wanita itu mengabaikan tugas dalam rumahtangga, pasti ia merupakan satu dosa kerana telah mengabaikan tanggungjawabnya yang sewajibnya dilakukan. Tugas menjadi wakil rakyat adalah berat dan sekali-sekala akan menyebabkan tekanan. Sudah tentu ini akan menjejaskan tumpuan seseorang wanita terhadap rumahtangganya.
Lainlah halnya kalau wakil rakyat wanita itu tidak ambil hirau langsung tentang rakyat yang diwakili olehnya. Kalau begitu apa faedahnya dia menjadi wakil rakyat kalau tidak mengambil tahu masalah dan keperluan rakyat. Begitu juga sebaliknya, iaitu seorang wanita itu tidak mahu memikul tanggungjawab rumahtangga dengan cara tidak mahu menjadi isteri dan ibu. Maksudnya, tidak perlu berumahtangga. Tetapi, adakah ini yang diajar oleh Islam yang menggalakkan perkahwinan dan beranak ramai bagi menguatkan Islam?
Bagaimana pula sekiranya wanita menjadi menteri? Tentulah tugasnya lebih berat daripada wakil rakyat biasa kerana terpaksa memikul dua tugas secara serentak; sebagai wakil rakyat dan sebagai menteri. Sudah tentu ini akan lebih menjejaskan tanggungjawabnya terhadap rumahtangga dan mungkin akan menyebabkan krisis disebabkan tanggungjawab yang terabai. Tugas sebagai wakil rakyat dan menteri menyebabkan seseorang wanita selalu keluar meninggalkan rumah bagi melakukan tugas-tugasnya. Tugas utama melayan suami dan anak-anak ditinggalkan dan diserahkan kepada pembantu. Bagi saya, dalam keadaan itu lebih baik isteri mempunyai madu daripada mempunyai pembantu. Suami tetap mendapat layanan isteri dan anak-anak pula, tetap sentiasa bersama ‘ibu’.
Kesimpulannya, penglibatan wanita dalam politik bukanlah semata-mata dengan menjadi calon dalam pilihanraya. Tugas sebagai wakil rakyat tidak sesuai bagi wanita. Medan politik utama wanita adalah rumahtangga. Di situlah peranan dan tanggungjawab politik mereka. Kejayaan politik wanita ialah kejayaan mereka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumahtangga.
Wallahua’alam.
Wan Zaidel Wan Shekh
22 Ramadhan 1420 / 30 Disember 1999
Selasa, 16 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
wajar atau tidak bergantung kepada keadaan. terdapat keadaan tertentu wanita wajar menonjolkan diri. dalam keadaan politik semasa memang wajar wanita terjun dalam bidang ini. ini kerana golongan wanita merupakan pengundi aktif yg ramai. suara mereka amat mendapat perhatian di kalangan kaum hawa. selayaknyalah mereka akan lebih perihatin dan mendengar agenda dan perjuangan dpd kaum mereka sendiri. wbgpun, sistem demokrasi yg ada sekarang bukanlah sistem yg diperkenalkan islam. sistem ini perlu dihapuskan dan diganti dengan sistem islam yg sebenar iaitu sistem Khalifah. dalam sistem khalifah wanita mempunyai peranan mereka. mereka tidak secara langsung terlibat dalam pengurusan negara.
apapun jika wanita berhajat dengan politik, perkara paling utama ialah mendapat keizinan dp suami. seelok mungkin biarlah mereka yang telah agak berumur yg tidak lagi mempunyai anak kecil untuk diberi perhatian dan didikan secara khusus
perlu ditekankan juga bahawa sistem politik sekarang perlu diubah
sebagai negara Islam sepatutnya mempunyai majlis Syura yg berperanan menjadi suruhanjaya bebas melantik pengurus negara dalam segenap segi seperti menteri sekarang. mereka yg dilantik mempunyai ciri2 yg diputuskan oleh majlis syura sesuai dgn kehendak Syariah. setiap kaum mempunyai wakil masing2 utk menjaga kepentingan masing2. tidaklah tertumpu kepada sesuatu bangsa tertentu sahaja spt melayu,cina dan india. sbb itulah terdapat banyak parti sekarang kerana kaum tersebut merasakan nasib mereka tidak diperjuangkan.
sistem pilihanraya perlu dihapuskan. ini kerana ia menyusahkan dan memenatkan rakyat. banyak pembaziran berlaku yg melibatkan bilion ringgit dilaburkan dalam bentuk yg sia-sia. cth: lambang parti/calon/poster dll. blm lagi peruntukan dpd parti utk pancing undi dsbg. alangkah baiknya jika digunakan pd tempat yg lebih memberi manfaat.
dlm hal ini semua rakyat malaysia yg mempunyai "kuasa" terpaksa menanggung dosa kerana gagal melaksanakan sistem islam yg sebenarnya termasuk pas yg mendakwa memperjuangkan islam, umno yg korup, keadilan yg tak pasti adil dlllllllllll.................
Catat Ulasan