Khamis, 25 September 2008

HIKAYAT SI PENANGKAP NIAT dan PENYAKIT SINIMETULAT



Assalamualaikum…

Sebenarnya banyak isu-isu yang menarik perhatian saya pada ketika ini, sama ada isu semasa khususnya yang berkaitan pergolakan politik tanahair, atau isu yang bersifat ‘evergreen’ atau yang berlaku sepanjang zaman seperti isu wanita yang antaranya saya sentuh dalam tulisan ‘kitar semula’ saya sebelum ini bertajuk Wajarkah Wanita Berpolitik dan isu-isu lain seperti isu sosial, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain.

Keinginan untuk menulis dan mengulas mengenai isu-isu tersebut memang berkobar-kobar tapi apakan daya, saya tidak punya masa. Komitmen pada kerjaya dan keluarga menyempitkan waktu saya untuk menulis dan berkarya. Kerana sibuk dan memikirkan banyak perkara dan masalah, otak saya pada masa ini agak ‘jammed’ (BM – sesak), ada idea tapi tidak boleh bergerak macam kereta yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Otak saya ibarat kereta yang saya pandu, membawa ramai penumpang tapi tidak mampu dihantar ke destinasi masing-masing kerana tersekat dalam kesesakan.

Untuk melegakan tekanan kesesakan otak saya itu dan mungkin juga kesesakan otak pembaca sekalian, saya ingin bercerita tentang kisah benar yang berlaku dalam masyarakat kita, khususnya masyarakat Melayu. Macam sesak di jalan raya, kita pasanglah lagu-lagu atau bercerita dengan penumpang untuk kurangkan tekanan. Ceritanya apa ya? Ya memang satu cerita dan memang sentiasa ada cerita tentang apa yang saya nak cerita. Ia adalah kisah benar. Tiada yang tidak benar melainkan benar belaka (aik! macam dalam mahkamah pulak).

Alkisah….. Jeng! Jeng!

HIKAYAT SI PENANGKAP NIAT dan PENYAKIT SINIMETULAT

Pada tahun 1998 (tarikhnya, lupa pula nak catat dalam diari), di bumi Mesir, ketika saya masih menuntut di sana, saya menuju ke sebuah masjid bernama Masjid ‘Ibadur Rahman untuk menunaikan solat Maghrib.

Sebaik saja saya melangkah masuk ke dalam masjid, imam baru saja memulakan solat dengan bertakbiratul ihram. Jadi, saya terus saja menuju ke arah saf belakang dan menyambung saf yang belum penuh. Tapi, sebelum saya bertakbiratul ihram untuk memulakan solat, tumpuan saya terganggu oleh satu pergelutan yang betul-betul berlaku di sebelah saya.

Pergelutan tersebut melibatkan makmum yang berdiri di sebelah saya. Memang saya kenal orangnya. Seorang mahasiswa dari Malaysia yang baru (jurusan syariah kalau tak silap). Dia baru sahaja beberapa bulan berada di Mesir untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar di tahun satu. Junior sayalah. Pada masa itu saya berada di tahun tiga.

Ya, mahasisiwa baru itu (tidak perlu saya sebut namanya – saya namakan fulan saja) sedang bergelut. Memang betul-betul bergelut. Antara yang terhebat pernah saya saksikan. Dia bergelut untuk menangkap sesuatu. Dia bergelut untuk menangkap makhluk bernama ‘niat’. Ibarat seekor tikus liar, nampaknya ‘niat’ yang dia cuba nak tangkap itu begitu liar sekali. Ketika saya masuk tadi, dia sudah bertakbir sekali bersama imam untu menangkap niat tersebut. Tapi niat itu terlepas. Ketika saya bertakbiratul ihram, dia sudah kali kedua mengangkat tangan untuk menangkap semula niatnya itu.

Amin!.. Saya melafazkan amin bersama imam yang baru selesai menyudahkan Al-Fatihahnya pada ketika si fulan tadi mengangkat tangan kali ketiga untuk menangkap niatnya itu yang ternyata amat sukar untuk dijinakkan. Saya rasa lega kerana walaupun lewat masuk daripada si fulan, saya dapat melafazkan amin bersama imam sedangkan si fulan masih lagi bergelut.

Saya tidak perlu bergelut. Saya pun ada niat juga. Cuma, bezanya niat si fulan tu sangat liar, niat saya begitu jinak sekali. Niat saya sangat manja. Ia sudah mengikut saya dari rumah lagi dan tetap setia. Ia tak lari ke mana-mana selagi mana saya tidak menyuruhnya pergi atau ketika saya tidur. Ketika saya tidur, niat tidak bersama saya kerana ia pun berehat juga. Setiap kali saya memerlukannya ia terus hadir tanpa saya perlu mengejar dan menangkapnya. Alhamdulillah..

Saya terus memberikan perhatian kepada bacaan surah imam. Walaupun demikian, perhatian saya tetap terganggu dengan aksi pergelutan yang masih berterusan di sebelah kanan saya. Kasihan si fulan tu. Dia mengangkat tangan kali keempat. Dia masih belum berjaya menangkap niatnya. Liar dan licik betul. Memang licik. Bayangkan saja, setiap kali si fulan tu mengangkat tangannnya dan ‘menekup niatnya’ di dadanya, kedua-dua sikunya bergerak-gerak ke depan dan ke belakang dan kadangkala terketar-ketar. Mungkin diasak dengan hebat oleh niatnya yang mungkin mahu melepaskan diri.

Bukan setakat itu saja. Mungkin kerana amat dahsyat rontaan niatnya yang mahu lari itu, mulut si fulan itu terkumat-kamit. Saya tidak tahu apa yang dibacanya. Tapi, ada mengeluarkan bunyi yang agak pelik.. Kcusyy…kcusyy…kcusyy (nak eja pun tak reti). Mungkin bunyi itu bacaan untuk menenangkan niatnya. Bunyi itu serentak dengan getaran dan gerakan sikunya sambil kedua-dua tanganya didakap erat ke dada (mungkin untuk menekan niat). Kombinasi getaran, gerakan siku dan bunyi mulut berterusan untuk beberapa ketika. Si fulan begitu berusaha bagi memastikan niatnya tidak terlepas.

Tetapi…, cus! Tiba-tiba saja niat si fulan tu melompat keluar. Terlepas lagi. Alahai niat! Kenapalah engkau degil sangat. Tidakkah engkau kasihan pada tuanmu ini. Marilah sayang! Imam sudah hampir habis bacaan surahnya. Mungkin itu keluhan hati si fulan. Si fulan melepaskan tangannya semula. Bukan putus asa. Tetapi untuk memulakan semula ‘perjuangan suci’ untuk menangkap niat. Dia menarik nafas dan menangkat tangan kali kelima. Proses yang sama berulang buat kali kelima. Dakapan tangan erat di dada, kedua-dua siku bergetar dan bergerak ke depan ke belakang serta dikombinasi dengan bunyi kcusyy…kcusyy…kcusyy.

Saya yang dari awal tadi agak terganggu dengan aksi pergelutan si fulan dengan niatnya, terus menghayati bacaan imam. Dapat juga saya menangkap makna ayat-ayat yang dibaca oleh imam. Itulah kelebihannya belajar bahasa Arab. Boleh mengetahui makna bacaan dan membantu kekusyukan. Tetapi amat malang bagi si fulan sebelah saya. Dia juga belajar bahasa Arab, tetapi belum berpeluang menghayati bacaan imam kerana masih lagi bergelut mengurus niatnya yang degil itu. Lima kali berturut-turut dia cuba menangkap niatnya tetapi belum dapat.

Allahu Akbar! Imam bertakbir untuk rukuk. Saya turut rukuk dan sempat juga saya menjeling ke sebelah (jangan ragu ye…bolehah menjeling…). Rupa-rupanya usaha kali kelima si fulan tadi untuk menangkap niatnya tidak juga berhasil. Dia melepaskan tangannya dan sebaik saja melihat imam sudah rukuk, dia terus mengangkat tangan kali keenam, bertakbir dan terus rukuk bersama imam. Elok saja niat dia masuk dan mendakap tuannya itu.

Nakal betul niatnya itu. Kata orang Sarawak mancai / mancal. Suka nyakat (mengacau) tuannya. Dari tadi tuannya berusaha untuk menangkap dan mendakapnya dengan penuh kepayahan dan pergelutan tetapi tidak berjaya.Tetapi apabila imam rukuk dengan tiba-tiba saja niatnya itu menyerah diri, pasrah dan mengikut tuannya.

Cerita tentang niat si fulan tu tidak terhenti setakat itu saja. Pada ketika yang lain, di masjid yang sama, saya sekali lagi menyaksikan pergelutan antara si fulan dengan niatnya. Mungkin begitulah setiap kali dia hendak solat. Tiba saja waktu hendak solat, niatnya buat perangai. Peristiwa kali kedua ini lebih dramatik. Kalau orang yang tak faham, mungkin boleh terpancit air kencing akibat menahan ketawa.


Apa ceritanya? Begini… Kalau sebelum ini si fulan bergelut dengan niat Maghrib, kali ini niat Isyak yang dihadapinya. Tidak kalah degil dan nakal niat Isyaknya ini. Adegan yang hampir sama berulang seperti peristiwa di atas tadi. Cuma bezanya kali ini saya datang lebih awal daripada si fulan. Ketika itu, saya sudah dalam solat, mula menghayati bacaaan Al-Fatihah imam yang memang lantang di masjid itu. Saya berada dihujung saf belakang sebelah kiri. Si fulan datang menyambung saf itu di sebelah kiri saya.

Selesai saja imam mengaminkan Al-Fatihah dituruti bersama oleh makmum, si fulan baru sampai dan memulakan proses penangkapan niat yang memang sudah biasa dilakukan olehnya. Dia mengangkat tangan kali pertama dan bermulalah aksi seperti yang saya ceritakan sebelum ini. Angkat tangan agak tinggi, di bawa ke hadapan, kemudian dengan cepat didakap ke dada lalu dipeluk erat, dikuti dengan getaran dan gerakan siku kanan dan kiri bertalu-talu ke depan ke belakang disertai bunyi kcusyy…kcusyy…kcusyy.

Sekali lagi saya tidak tahu, tidak faham dan tidak jelas apa yang dibacanya. Saya kurang arif tentang bunyi itu. Mungkin pembaca boleh tanya pakar dalam bidang niat ini. Kemungkinan ada bacaan-bacaan khusus untuk menjinakkan niat. Ya, mungkin, untuk makhluk niat yang sangat degil, yang kurang mesra insan, kurang mesra alam. Begitulah bunyi yang saya dengar setiap kali si fulan hendak menangkap niatnya.

Seperti biasa, percubaan pertama si fulan gagal. Yakni dia sekali lagi gagal menangkap niat untuk kali pertama. Dia pasti cuba untuk menangkap niatnya untuk memastikannya bersama ketika solat. Kalau tidak, solatnya tidak diterima. Dia memulakan aksinya kali kedua. Perkara yang sama berulang sepertimana percubaan pertama.

Ketika itu masuk seorang makmum baru. Bukan orang Melayu tapi penduduk tempatan, orang Arab. Orang Arab itu, berbadan tegap dan masih muda, mungkin hampir 40 tahun, terus saja masuk saf, menyambung di sebelah kiri si fulan. Sesudah memastikan kakinya selari dengan makmum di sebelahnya, dia terus bertakbir, agak cepat bunyinya tapi jelas dan meletakkan tangan di bawah dadanya. Begitu mudah sekali. Orang Arab itu terus tunduk memerhati tempat sujud lantas menghayati bacaan imam. Agak panjang bacaan imam pada solat Isyak malam itu. Pada ketika itu, si fulan masih lagi bergelut, bertungkus lumus untuk menjinakkan niatnya yang liar itu.

Saya, pemuda Arab yang datang lewat tadi dan makmum yang lain sudah tenang dalam solat sedangkan si fulan terus melayani kerenah kenakalan niatnya itu. Setelah gagal kali kedua, dia menucuba kali ketiga, kali keempat dan kali kelima dengan aksi-aksi yang saya sebutkan tadi. Setiap kali proses ia memakan masa agak lama, mungkin saya ingat sekitar 10 saat. Kalau enam kali sudah 1 minit.

Si fulan mengangkat tangan kali kelima… ‘Allahu Akk….Pap!!!Tiba-tiba….dengan tidak semena-mena tangan kanan pemuda Arab yang berada di sebelah kiri si fulan terangkat tinggi dan dengan pantas singgah di belakang si fulan tadi. Orang Arab tadi menepo (dialek Sarawak bermaksud memukul dgn tapak tangan) belakang si fulan yang malang. Terangkat badan fulan tu dibuatnya. Memang kuat. Nasib baik si fulan juga berbadan tegap. Kalau tidak nescaya terdorong ke depan. Nasib baik juga si fulan tidak sakit jantung. Kalau tidak, mungkin jatuh tersungkur dan gol… (maaf kalau istilah tak betul).

Terkejut saya dibuatnya. Siapa sangka si Arab yang kelihatan tenang dalam solat bingkas bertindak ‘ganas’ membuat ‘pukulan maut’ menghilangkan serta merta ‘keasyikan’ si fulan yang sedang berusaha ‘mendakap’ niatnya. Amat malang sekali. Menelan air liur si fulan untuk menenangkan dirinya. Nasib baik baik dia tidak panik. Bayangkan kalau ada tindak balas daripada di fulan, katakan tangannya terangkat dan melayang ke muka si Arab. Nayalah si Arab tu. Fuhh… lega.

Akibat pukulan maut si Arab tadi, si fulan yang tersentak dan seperti baru sedar di bumi nyata, meneruskan ‘urusan’ niat yang belum selesai. Tapi kali ini sudah berbeza. Dengan tenang dia mengangkat tangan kali keenam dan bertakbir lalu meneruskan solatnya. Imam masih lagi membaca surah. Sempat juga si fulan membaca Al-Fatihah (mungkin si fulan menganggap ia perlu walaupun sudah dibaca imam).

Apa sudah terjadi dengan niat Isyak si fulan tadi? Macam tidak liar lagi. Agaknya, pukulan maut si Arab tadi menyebabkan si niat tu terpenyek dan hampir pengsan. Sudah menyak-menyak (ada ke bahasa ni?). Tidak mampu lagi melawan kerana mengalami ‘kecederaan’ kesan pukulan yang tidak disangka-sangka daripada orang Arab tu. Kalaulah niat tu ibarat makhluk hidup seperti seekor kucing, saya agak mungkin sudah berterabur kencing dan najisnya akibat amat terkejut dengan tamparan yang kuat itu. Memang patut juga orang Arab itu berbuat begitu untuk mengajar niat tu. Tak habis-habis menyusahkan tuannya saja. Rasakan.. Ambil engkau…Mungkin itu bisik hati si Arab tu.



Begitulah antara peristiwa bersejarah dalam hidup saya yang tidak pernah saya lupakan hingga kini. Satu peristiwa tentang penyakit orang Melayu. Dalam situasi kedua tadi, ternyata orang Arab tadi panas hati dan terganggu dengan gelagat dan aksi si fulan yang memang sangat pelik bagi masyarakat dia (Arab). Mungkin aksi itu hanya dalam masyarakat Melayu. Wallahu ‘alam saya kurang pasti. Kasihan sungguh orang Melayu. Selalu saja dipermainkan oleh niat mereka, khususnya ketika hendak solat. Sampai sekarang penyakit Sindrom Niat Melayu Waktu Solat (Sinimetulat) masih lagi berlaku. Niat-niat yang liar dan sukar ditangkap menyebabkan orang-orang Melayu seperti kepayahan hendak memulakan solat.



Sindrom Niat Melayu Waktu Solat (Sinimetulat) mendapat namanya kerana penyakit ini hanya berlaku waktu solat. Belum kedengaran lagi penyakit Sinimetukan (Sindrom Niat Melayu Waktu Makan), atau Sinimetunum (Sindrom Niat Melayu Waktu Minum). Belum juga kedengaran Sinimeturak (agaknya waktu bila tu?). Saya belum pasti apa vaksin yang sesuai untuk mengubat penyakit Sinimetulat ini. Mungkin Tun Dr Mahathir punya jawapan kerana beliau sangat arif masalah dan penyakit orang Melayu. Bukankah beliau pernah menulis buku Malay Dilema (Dilema Melayu).

Bagi saya penyakit Sinimetulat yang dihidapi oleh di fulan tadi hingga terjadi peristiwa tidak diingini itu perlu diubati. Mungkin si fulan masih muda dan kurang pengalaman. Kalau diperhati orang-orang Melayu lama, mereka didapati mempunyai kaedah tersendiri untuk menangkap niat ketika solat. Mereka punya gaya atau style yang pelbagai. Dengan kaedah dan gaya mereka ini, mereka tidak perlu melakukan ‘kerja’ penangkapan niat tu banyak kali. Cukup sekali saja, niat sudah mampu dijinakkan. Si fulan patut belajar dengan orang-orang Melayu lama ini.

Di sini saya senaraikan antara gaya atau style penangkapan niat yang diamalkan oleh orang Melayu. Harus diingati gaya atau style ini tiada hak cipta. Ia bebas digunakan oleh sesiapa. Cuma nasihat saya, JANGAN TIRU AKSI INI kerana ia mengandungi virus.

i. Gaya silat – semasa hendak menangkap niat si pengamal gaya ini seperti melakukan lagak seorang pesilat sebelum tangan didakap ke dada. Biasalah orang Melayu, tidak dapat dipisahkan dengan silat hingga dalam solat pun mereka bersilat.
ii. Gaya pemeluk – pengamal gaya ini akan mendepangkan tangannya dan melengkungkannya seperti hendak memeluk sebatang balak yang besar. Kemudian secara perlahan-lahan ditarik ke arah dada. Gaya ini mungkin diwarisi daripada orang Melayu yang bekerja sebagai pembalak.
iii. Gaya hayunan atau dayungan – setelah mengangkat tangan ke telinga, pengamal gaya ini akan menghayunkan kedua-dua belah tangannya di rusuk mereka beberapa kali sebelum di dakap ke dada. Gaya ini tidak syak lagi diwarisi dari generasi Melayu yang banyak terlibat dalam aktiviti di sungai. Sebelum ada enjin, orang Melayu dulu menggunakan dayung atau pengayuh.
iv. Gaya julingan – pengamal gaya ini akan mengangkat tangan ke telinga dan berhenti sebentar di situ sebentar sambil matanya juling ke atas untuk memastikan niat dapat ditangkap dengan tepat. Tidak pasti dari mana gaya ini diwarisi. Cuma saya masih ingat masa kecil anak-anak Melayu di kampung suka melastik burung dan cicak. Agaknya merekalah pelopor gaya ini.
v. Gaya gulungan – gaya ini dilakukan dengan cara menggulung tangan kanan dan kiri di hadapan dada beberapa kali sebelum diletak secara bersama di dada. Menyebut gaya ini, saya pasti ia adalah warisan orang Melayu yang selalu main ‘pangkak gasing’. Sebelum gasing dipusing atau dipangkak ke arah gasing lawan tali perlu digulung dulu di kepala gasing.

Sebenarnya banyak lagi gaya atau style lain dalam masyarakat Melayu ketika mereka hendak menangkap niat waktu solat. Semua gaya tersebut ada kaitan dengan budaya masyarakat Melayu. Saya catatkan beberapa gaya sahaja sebagai contoh. Ingat! DILARANG MENIRU GAYA-GAYA INI. Takut anda dijangkiti penyakit berbahaya, Sinimetulat.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

memaang kesian.
sebenarnya seperti yg selalu diberi ceramah di mana2 sekalipun, kita beramal kena dgn ilmu. jika tidak tahu kena tanya yg tahu, baca, hadiri majlis ilmu dan sebagainya. jgn jadi org kate bodoh sombong.

kes2 sadis aktiviti penangkapan makhluk liar bernama niat ni memang biasa dan banyak terjadi dlm masyarakat terutama masyarakat melayu. entah kenapa Melayu yg menjadi sasaran sindrom/ virus ini.

mungkin kerana melayu byk makan belacan, pekasam,budu, cencalu, kerak nasi, ikan botok (ikan yg dah nak buruk dimasak bersama daun kunyit). paling sedap kalau ikan bulu dpd kelong di perairan batang sadong.awas mat bedal sdg memerhati. mungkin juga kerana suka mkn petai,jering,dabey.
tapi semua itu cuma kepercayaan org lama. padahal dilarang mkn kerana benda tu sikit dan sedap. hakikatnya sesetengah yg dinyatakan di atas memang makhruh sifatnya lantaran ada power/ump/sengatan aroma hidung jika dimakan. kalau dimakan oleh pengidap sindrom yg dinyatakan oleh penulis, org sdisebelah bukan setakat dpt sindrom, malah mungkin boleh pengsaaan.

apapun alasan kenapa sindrom ini terjadi dalam masyarakat melayu perlu dikaji. ini kerana kurang kefahaman dalam agama. dulu2 ustaz yg mengajar ketika sekolah rendah dah tanamkan benda2 seperti ini dlm diri pelaja. mungkin ustaz itupun merupakan salah seorang yg dikatakan sebagai (niathunter). perlu diberitahu ia berbeza dgn headhunter yg satu masa dulu banyak kes di swak.bukan nak salahkan ustaz yg mengajar. mungkin diapun diajar seperti itu. kesiannn kesian. memang kesian.

walaubagaimanapun terdapat gaya2 pemburu atau penangkap niat ni yg telah pupus seiring dgn kepupusan dinasour
antara yg dikenalpasti oleh pemikir, pengkaji persendirian terdapat gaya seperti:

1.Gaya budha bertafakur. gaya ini memperlihatkan pengamalnya selepas takbir akan menurunkan tangan paras dada. selum didakap ke dada, pengamal seperti diam sejenak sambil tangan separuh digenggam.
2.Gaya Ultraman Tiga
Pengamal akan menyilang tangan pd paras dada(tgn kanan di atas) seperti mahu melancarkan serangan aura/laser dan terus menangkap tgn kiri yg berada di bawah dan membawa ke dada. gaya ini mungkin tercipta masa Jepun menjajah tanah melayu dan diperkenalkan kepada buruh paksa.
3.Gaya Penyembah Berhala
Gaya ini dipraktikkan dgn mengangkat tangan tinggi melepasi paras kepala sambil tangan seolah olah disatukan di atas tp masih ada ruang antara keduanya dan terus secaraa cepat ditarik ke dada sambil diringi dgn suara agak keras dan garau. blm ada riwayat yg sahih mengenai gaya ini. mungkin juga berasal daripada keturunan yg tidak ade nasab yg jelas

4. Gaya mengadap sultan
Gaya ini lebih kurang sama dgn gaya di atas cuma bezanya ia tidak melimpasi paras kepala. tidak syak lagi ia berasal daripada panglima, hulubalang dan bendahara serta keturunan hang2 pd zaman kerajaan melayu lama.

5. Gaya Parkinson
Gaya ini diperkenalkan oleh seorang budak yg semasa kecilnya suka ke masjid. kerjanya memerhatikan org sdg solat. suatu hari dia memerhatikan serang yg sedang mahu solat mengangkat takbir dgn tangan diangkat sambil diturung berketar ketar terus didakap di bawah paras dada. sebenarnya bukan salah orang yg solat. org ni sakit parkinson. mungkin budak ni ingat inilah cara yg paling afdal mengangkat takbir.itulah tak tanya dulu.

6. Gaya Dragon Ball
Gaya ini juga dipercayai diwarisi dpd masyarakat yg suka menonton cerita kartun daragon ball. kaedah ini diperkenalkan dgn cara mengangkat tangan lurus ke depan sambil kedua2 tapak tangan diangkat ke atas pd pergelangan tangan yg menampakkan ruang kosong berbentuk huruf "W" bila kedua-dua ibu jari disatukan. ini mungkin diperkenalkan oleh org yg namanya di awal ade huruf tu kot. opps salah bukan tp oleh pengamal ilmu hitam yg tengah menenung nasib

kesemua yg dikongsikan di atas merupakan gaya-gaya yg pernah disaksikan sendiri. cuma asal usul nama dan orang yg memperkenalkan hanya rekaan semata. perlu ditegaskan bahawa, gaya seperti yg dinyatakan di atas berlaku dalam masyarakat melayu. melayu lagi. hai hai hai. memang kesian.
maaf atas apa yg mungkin menyakitkan hati. cuma nak kongsi.beramal dgn ilmu yg asli.bukan cedok sana sini. tak pasti nasabnya. wassalam.

Tanpa Nama berkata...

suka juga nak berkongsi sindrom lain selepas angkat takbir

sindrom itu ialah kaedah meletakkan tangan semasa solat
1. gaya pendekar menghunus keris
gaya ini dipraktikkan dgn cara tangan pengamal disilang pada paras pusat tetapi sedikit berada di sebelah kiri badan. ia mendapat nama lantaran pengamal seolah olah sedang memegang hulu keris yg hendak dihunus kepada lawannya.
2. Gaya tahan sakit perut
Gaya ini memperlihatkan pengamal mendakap tangan di perut pada aras pusat sambil badan sedikit membongkok. Mungkin tak tahan nak buang air besar.
3. Gaya Zip terbuka
Gaya ini melihatkan pengamal meletakkan tangan di bawah paras pusat sambil tapak tangan kiri lurus ke bawah sambil tangan kanan memegang perbelangan tangan kiri
4.Gaya CPR
gaya ini pernah diperhatikan di UMS semasa sedang tunggu khatib berkhutbah. ade hamba Allah dtg solat sunat tahiyatulmasjid. dia takbir terus meletakkan tangan di dada tetapi luar biasa sikit hampir sangat ke kerongkong. Dahsyat dahsyat. kesian. memang kesian. nasib baik si fulan ni tak ade sindrom angkat takbir.
5. gaya musim sejuk

gaya ini diamalkan oleh si pemalas. dengan mudah sahaje mendakap sedikit di bawah aras dada tetapi tangan kanannya kesebelah dan memaut bahagian siku tangan kiri. betul-betul pemalas org ni.kesian kesian. memang kesian.