Khamis, 25 September 2008

HIKAYAT SI PENANGKAP NIAT dan PENYAKIT SINIMETULAT



Assalamualaikum…

Sebenarnya banyak isu-isu yang menarik perhatian saya pada ketika ini, sama ada isu semasa khususnya yang berkaitan pergolakan politik tanahair, atau isu yang bersifat ‘evergreen’ atau yang berlaku sepanjang zaman seperti isu wanita yang antaranya saya sentuh dalam tulisan ‘kitar semula’ saya sebelum ini bertajuk Wajarkah Wanita Berpolitik dan isu-isu lain seperti isu sosial, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain.

Keinginan untuk menulis dan mengulas mengenai isu-isu tersebut memang berkobar-kobar tapi apakan daya, saya tidak punya masa. Komitmen pada kerjaya dan keluarga menyempitkan waktu saya untuk menulis dan berkarya. Kerana sibuk dan memikirkan banyak perkara dan masalah, otak saya pada masa ini agak ‘jammed’ (BM – sesak), ada idea tapi tidak boleh bergerak macam kereta yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Otak saya ibarat kereta yang saya pandu, membawa ramai penumpang tapi tidak mampu dihantar ke destinasi masing-masing kerana tersekat dalam kesesakan.

Untuk melegakan tekanan kesesakan otak saya itu dan mungkin juga kesesakan otak pembaca sekalian, saya ingin bercerita tentang kisah benar yang berlaku dalam masyarakat kita, khususnya masyarakat Melayu. Macam sesak di jalan raya, kita pasanglah lagu-lagu atau bercerita dengan penumpang untuk kurangkan tekanan. Ceritanya apa ya? Ya memang satu cerita dan memang sentiasa ada cerita tentang apa yang saya nak cerita. Ia adalah kisah benar. Tiada yang tidak benar melainkan benar belaka (aik! macam dalam mahkamah pulak).

Alkisah….. Jeng! Jeng!

HIKAYAT SI PENANGKAP NIAT dan PENYAKIT SINIMETULAT

Pada tahun 1998 (tarikhnya, lupa pula nak catat dalam diari), di bumi Mesir, ketika saya masih menuntut di sana, saya menuju ke sebuah masjid bernama Masjid ‘Ibadur Rahman untuk menunaikan solat Maghrib.

Sebaik saja saya melangkah masuk ke dalam masjid, imam baru saja memulakan solat dengan bertakbiratul ihram. Jadi, saya terus saja menuju ke arah saf belakang dan menyambung saf yang belum penuh. Tapi, sebelum saya bertakbiratul ihram untuk memulakan solat, tumpuan saya terganggu oleh satu pergelutan yang betul-betul berlaku di sebelah saya.

Pergelutan tersebut melibatkan makmum yang berdiri di sebelah saya. Memang saya kenal orangnya. Seorang mahasiswa dari Malaysia yang baru (jurusan syariah kalau tak silap). Dia baru sahaja beberapa bulan berada di Mesir untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar di tahun satu. Junior sayalah. Pada masa itu saya berada di tahun tiga.

Ya, mahasisiwa baru itu (tidak perlu saya sebut namanya – saya namakan fulan saja) sedang bergelut. Memang betul-betul bergelut. Antara yang terhebat pernah saya saksikan. Dia bergelut untuk menangkap sesuatu. Dia bergelut untuk menangkap makhluk bernama ‘niat’. Ibarat seekor tikus liar, nampaknya ‘niat’ yang dia cuba nak tangkap itu begitu liar sekali. Ketika saya masuk tadi, dia sudah bertakbir sekali bersama imam untu menangkap niat tersebut. Tapi niat itu terlepas. Ketika saya bertakbiratul ihram, dia sudah kali kedua mengangkat tangan untuk menangkap semula niatnya itu.

Amin!.. Saya melafazkan amin bersama imam yang baru selesai menyudahkan Al-Fatihahnya pada ketika si fulan tadi mengangkat tangan kali ketiga untuk menangkap niatnya itu yang ternyata amat sukar untuk dijinakkan. Saya rasa lega kerana walaupun lewat masuk daripada si fulan, saya dapat melafazkan amin bersama imam sedangkan si fulan masih lagi bergelut.

Saya tidak perlu bergelut. Saya pun ada niat juga. Cuma, bezanya niat si fulan tu sangat liar, niat saya begitu jinak sekali. Niat saya sangat manja. Ia sudah mengikut saya dari rumah lagi dan tetap setia. Ia tak lari ke mana-mana selagi mana saya tidak menyuruhnya pergi atau ketika saya tidur. Ketika saya tidur, niat tidak bersama saya kerana ia pun berehat juga. Setiap kali saya memerlukannya ia terus hadir tanpa saya perlu mengejar dan menangkapnya. Alhamdulillah..

Saya terus memberikan perhatian kepada bacaan surah imam. Walaupun demikian, perhatian saya tetap terganggu dengan aksi pergelutan yang masih berterusan di sebelah kanan saya. Kasihan si fulan tu. Dia mengangkat tangan kali keempat. Dia masih belum berjaya menangkap niatnya. Liar dan licik betul. Memang licik. Bayangkan saja, setiap kali si fulan tu mengangkat tangannnya dan ‘menekup niatnya’ di dadanya, kedua-dua sikunya bergerak-gerak ke depan dan ke belakang dan kadangkala terketar-ketar. Mungkin diasak dengan hebat oleh niatnya yang mungkin mahu melepaskan diri.

Bukan setakat itu saja. Mungkin kerana amat dahsyat rontaan niatnya yang mahu lari itu, mulut si fulan itu terkumat-kamit. Saya tidak tahu apa yang dibacanya. Tapi, ada mengeluarkan bunyi yang agak pelik.. Kcusyy…kcusyy…kcusyy (nak eja pun tak reti). Mungkin bunyi itu bacaan untuk menenangkan niatnya. Bunyi itu serentak dengan getaran dan gerakan sikunya sambil kedua-dua tanganya didakap erat ke dada (mungkin untuk menekan niat). Kombinasi getaran, gerakan siku dan bunyi mulut berterusan untuk beberapa ketika. Si fulan begitu berusaha bagi memastikan niatnya tidak terlepas.

Tetapi…, cus! Tiba-tiba saja niat si fulan tu melompat keluar. Terlepas lagi. Alahai niat! Kenapalah engkau degil sangat. Tidakkah engkau kasihan pada tuanmu ini. Marilah sayang! Imam sudah hampir habis bacaan surahnya. Mungkin itu keluhan hati si fulan. Si fulan melepaskan tangannya semula. Bukan putus asa. Tetapi untuk memulakan semula ‘perjuangan suci’ untuk menangkap niat. Dia menarik nafas dan menangkat tangan kali kelima. Proses yang sama berulang buat kali kelima. Dakapan tangan erat di dada, kedua-dua siku bergetar dan bergerak ke depan ke belakang serta dikombinasi dengan bunyi kcusyy…kcusyy…kcusyy.

Saya yang dari awal tadi agak terganggu dengan aksi pergelutan si fulan dengan niatnya, terus menghayati bacaan imam. Dapat juga saya menangkap makna ayat-ayat yang dibaca oleh imam. Itulah kelebihannya belajar bahasa Arab. Boleh mengetahui makna bacaan dan membantu kekusyukan. Tetapi amat malang bagi si fulan sebelah saya. Dia juga belajar bahasa Arab, tetapi belum berpeluang menghayati bacaan imam kerana masih lagi bergelut mengurus niatnya yang degil itu. Lima kali berturut-turut dia cuba menangkap niatnya tetapi belum dapat.

Allahu Akbar! Imam bertakbir untuk rukuk. Saya turut rukuk dan sempat juga saya menjeling ke sebelah (jangan ragu ye…bolehah menjeling…). Rupa-rupanya usaha kali kelima si fulan tadi untuk menangkap niatnya tidak juga berhasil. Dia melepaskan tangannya dan sebaik saja melihat imam sudah rukuk, dia terus mengangkat tangan kali keenam, bertakbir dan terus rukuk bersama imam. Elok saja niat dia masuk dan mendakap tuannya itu.

Nakal betul niatnya itu. Kata orang Sarawak mancai / mancal. Suka nyakat (mengacau) tuannya. Dari tadi tuannya berusaha untuk menangkap dan mendakapnya dengan penuh kepayahan dan pergelutan tetapi tidak berjaya.Tetapi apabila imam rukuk dengan tiba-tiba saja niatnya itu menyerah diri, pasrah dan mengikut tuannya.

Cerita tentang niat si fulan tu tidak terhenti setakat itu saja. Pada ketika yang lain, di masjid yang sama, saya sekali lagi menyaksikan pergelutan antara si fulan dengan niatnya. Mungkin begitulah setiap kali dia hendak solat. Tiba saja waktu hendak solat, niatnya buat perangai. Peristiwa kali kedua ini lebih dramatik. Kalau orang yang tak faham, mungkin boleh terpancit air kencing akibat menahan ketawa.


Apa ceritanya? Begini… Kalau sebelum ini si fulan bergelut dengan niat Maghrib, kali ini niat Isyak yang dihadapinya. Tidak kalah degil dan nakal niat Isyaknya ini. Adegan yang hampir sama berulang seperti peristiwa di atas tadi. Cuma bezanya kali ini saya datang lebih awal daripada si fulan. Ketika itu, saya sudah dalam solat, mula menghayati bacaaan Al-Fatihah imam yang memang lantang di masjid itu. Saya berada dihujung saf belakang sebelah kiri. Si fulan datang menyambung saf itu di sebelah kiri saya.

Selesai saja imam mengaminkan Al-Fatihah dituruti bersama oleh makmum, si fulan baru sampai dan memulakan proses penangkapan niat yang memang sudah biasa dilakukan olehnya. Dia mengangkat tangan kali pertama dan bermulalah aksi seperti yang saya ceritakan sebelum ini. Angkat tangan agak tinggi, di bawa ke hadapan, kemudian dengan cepat didakap ke dada lalu dipeluk erat, dikuti dengan getaran dan gerakan siku kanan dan kiri bertalu-talu ke depan ke belakang disertai bunyi kcusyy…kcusyy…kcusyy.

Sekali lagi saya tidak tahu, tidak faham dan tidak jelas apa yang dibacanya. Saya kurang arif tentang bunyi itu. Mungkin pembaca boleh tanya pakar dalam bidang niat ini. Kemungkinan ada bacaan-bacaan khusus untuk menjinakkan niat. Ya, mungkin, untuk makhluk niat yang sangat degil, yang kurang mesra insan, kurang mesra alam. Begitulah bunyi yang saya dengar setiap kali si fulan hendak menangkap niatnya.

Seperti biasa, percubaan pertama si fulan gagal. Yakni dia sekali lagi gagal menangkap niat untuk kali pertama. Dia pasti cuba untuk menangkap niatnya untuk memastikannya bersama ketika solat. Kalau tidak, solatnya tidak diterima. Dia memulakan aksinya kali kedua. Perkara yang sama berulang sepertimana percubaan pertama.

Ketika itu masuk seorang makmum baru. Bukan orang Melayu tapi penduduk tempatan, orang Arab. Orang Arab itu, berbadan tegap dan masih muda, mungkin hampir 40 tahun, terus saja masuk saf, menyambung di sebelah kiri si fulan. Sesudah memastikan kakinya selari dengan makmum di sebelahnya, dia terus bertakbir, agak cepat bunyinya tapi jelas dan meletakkan tangan di bawah dadanya. Begitu mudah sekali. Orang Arab itu terus tunduk memerhati tempat sujud lantas menghayati bacaan imam. Agak panjang bacaan imam pada solat Isyak malam itu. Pada ketika itu, si fulan masih lagi bergelut, bertungkus lumus untuk menjinakkan niatnya yang liar itu.

Saya, pemuda Arab yang datang lewat tadi dan makmum yang lain sudah tenang dalam solat sedangkan si fulan terus melayani kerenah kenakalan niatnya itu. Setelah gagal kali kedua, dia menucuba kali ketiga, kali keempat dan kali kelima dengan aksi-aksi yang saya sebutkan tadi. Setiap kali proses ia memakan masa agak lama, mungkin saya ingat sekitar 10 saat. Kalau enam kali sudah 1 minit.

Si fulan mengangkat tangan kali kelima… ‘Allahu Akk….Pap!!!Tiba-tiba….dengan tidak semena-mena tangan kanan pemuda Arab yang berada di sebelah kiri si fulan terangkat tinggi dan dengan pantas singgah di belakang si fulan tadi. Orang Arab tadi menepo (dialek Sarawak bermaksud memukul dgn tapak tangan) belakang si fulan yang malang. Terangkat badan fulan tu dibuatnya. Memang kuat. Nasib baik si fulan juga berbadan tegap. Kalau tidak nescaya terdorong ke depan. Nasib baik juga si fulan tidak sakit jantung. Kalau tidak, mungkin jatuh tersungkur dan gol… (maaf kalau istilah tak betul).

Terkejut saya dibuatnya. Siapa sangka si Arab yang kelihatan tenang dalam solat bingkas bertindak ‘ganas’ membuat ‘pukulan maut’ menghilangkan serta merta ‘keasyikan’ si fulan yang sedang berusaha ‘mendakap’ niatnya. Amat malang sekali. Menelan air liur si fulan untuk menenangkan dirinya. Nasib baik baik dia tidak panik. Bayangkan kalau ada tindak balas daripada di fulan, katakan tangannya terangkat dan melayang ke muka si Arab. Nayalah si Arab tu. Fuhh… lega.

Akibat pukulan maut si Arab tadi, si fulan yang tersentak dan seperti baru sedar di bumi nyata, meneruskan ‘urusan’ niat yang belum selesai. Tapi kali ini sudah berbeza. Dengan tenang dia mengangkat tangan kali keenam dan bertakbir lalu meneruskan solatnya. Imam masih lagi membaca surah. Sempat juga si fulan membaca Al-Fatihah (mungkin si fulan menganggap ia perlu walaupun sudah dibaca imam).

Apa sudah terjadi dengan niat Isyak si fulan tadi? Macam tidak liar lagi. Agaknya, pukulan maut si Arab tadi menyebabkan si niat tu terpenyek dan hampir pengsan. Sudah menyak-menyak (ada ke bahasa ni?). Tidak mampu lagi melawan kerana mengalami ‘kecederaan’ kesan pukulan yang tidak disangka-sangka daripada orang Arab tu. Kalaulah niat tu ibarat makhluk hidup seperti seekor kucing, saya agak mungkin sudah berterabur kencing dan najisnya akibat amat terkejut dengan tamparan yang kuat itu. Memang patut juga orang Arab itu berbuat begitu untuk mengajar niat tu. Tak habis-habis menyusahkan tuannya saja. Rasakan.. Ambil engkau…Mungkin itu bisik hati si Arab tu.



Begitulah antara peristiwa bersejarah dalam hidup saya yang tidak pernah saya lupakan hingga kini. Satu peristiwa tentang penyakit orang Melayu. Dalam situasi kedua tadi, ternyata orang Arab tadi panas hati dan terganggu dengan gelagat dan aksi si fulan yang memang sangat pelik bagi masyarakat dia (Arab). Mungkin aksi itu hanya dalam masyarakat Melayu. Wallahu ‘alam saya kurang pasti. Kasihan sungguh orang Melayu. Selalu saja dipermainkan oleh niat mereka, khususnya ketika hendak solat. Sampai sekarang penyakit Sindrom Niat Melayu Waktu Solat (Sinimetulat) masih lagi berlaku. Niat-niat yang liar dan sukar ditangkap menyebabkan orang-orang Melayu seperti kepayahan hendak memulakan solat.



Sindrom Niat Melayu Waktu Solat (Sinimetulat) mendapat namanya kerana penyakit ini hanya berlaku waktu solat. Belum kedengaran lagi penyakit Sinimetukan (Sindrom Niat Melayu Waktu Makan), atau Sinimetunum (Sindrom Niat Melayu Waktu Minum). Belum juga kedengaran Sinimeturak (agaknya waktu bila tu?). Saya belum pasti apa vaksin yang sesuai untuk mengubat penyakit Sinimetulat ini. Mungkin Tun Dr Mahathir punya jawapan kerana beliau sangat arif masalah dan penyakit orang Melayu. Bukankah beliau pernah menulis buku Malay Dilema (Dilema Melayu).

Bagi saya penyakit Sinimetulat yang dihidapi oleh di fulan tadi hingga terjadi peristiwa tidak diingini itu perlu diubati. Mungkin si fulan masih muda dan kurang pengalaman. Kalau diperhati orang-orang Melayu lama, mereka didapati mempunyai kaedah tersendiri untuk menangkap niat ketika solat. Mereka punya gaya atau style yang pelbagai. Dengan kaedah dan gaya mereka ini, mereka tidak perlu melakukan ‘kerja’ penangkapan niat tu banyak kali. Cukup sekali saja, niat sudah mampu dijinakkan. Si fulan patut belajar dengan orang-orang Melayu lama ini.

Di sini saya senaraikan antara gaya atau style penangkapan niat yang diamalkan oleh orang Melayu. Harus diingati gaya atau style ini tiada hak cipta. Ia bebas digunakan oleh sesiapa. Cuma nasihat saya, JANGAN TIRU AKSI INI kerana ia mengandungi virus.

i. Gaya silat – semasa hendak menangkap niat si pengamal gaya ini seperti melakukan lagak seorang pesilat sebelum tangan didakap ke dada. Biasalah orang Melayu, tidak dapat dipisahkan dengan silat hingga dalam solat pun mereka bersilat.
ii. Gaya pemeluk – pengamal gaya ini akan mendepangkan tangannya dan melengkungkannya seperti hendak memeluk sebatang balak yang besar. Kemudian secara perlahan-lahan ditarik ke arah dada. Gaya ini mungkin diwarisi daripada orang Melayu yang bekerja sebagai pembalak.
iii. Gaya hayunan atau dayungan – setelah mengangkat tangan ke telinga, pengamal gaya ini akan menghayunkan kedua-dua belah tangannya di rusuk mereka beberapa kali sebelum di dakap ke dada. Gaya ini tidak syak lagi diwarisi dari generasi Melayu yang banyak terlibat dalam aktiviti di sungai. Sebelum ada enjin, orang Melayu dulu menggunakan dayung atau pengayuh.
iv. Gaya julingan – pengamal gaya ini akan mengangkat tangan ke telinga dan berhenti sebentar di situ sebentar sambil matanya juling ke atas untuk memastikan niat dapat ditangkap dengan tepat. Tidak pasti dari mana gaya ini diwarisi. Cuma saya masih ingat masa kecil anak-anak Melayu di kampung suka melastik burung dan cicak. Agaknya merekalah pelopor gaya ini.
v. Gaya gulungan – gaya ini dilakukan dengan cara menggulung tangan kanan dan kiri di hadapan dada beberapa kali sebelum diletak secara bersama di dada. Menyebut gaya ini, saya pasti ia adalah warisan orang Melayu yang selalu main ‘pangkak gasing’. Sebelum gasing dipusing atau dipangkak ke arah gasing lawan tali perlu digulung dulu di kepala gasing.

Sebenarnya banyak lagi gaya atau style lain dalam masyarakat Melayu ketika mereka hendak menangkap niat waktu solat. Semua gaya tersebut ada kaitan dengan budaya masyarakat Melayu. Saya catatkan beberapa gaya sahaja sebagai contoh. Ingat! DILARANG MENIRU GAYA-GAYA INI. Takut anda dijangkiti penyakit berbahaya, Sinimetulat.

Selasa, 16 September 2008

Wajarkah Wanita Berpolitik?

Hari ini, 15 Ramadhan 1429 saya menjumpai diri saya 9 tahun yang lepas, bertarikh 22 Ramadhan 1420 ketika saya berada di Mesir. Maksud saya, saya menjumpai tulisan saya pada tarikh tersebut yang dipetik satu laman blog. Tulisan saya itu bertajuk Wajarkah Wanita Berpolitik? Secara kebetulan, tulisan tersebut ditulis pada bulan Ramadhan dan saya menjumpainya semula pada bulan Ramadhan, pada ketika saya begitu meragui laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang akan memperjuangkan persamaan gender dalam satu majlis tidak lama dulu.

Ramadhan, seperti yang dimaklumi ramai orang, adalah bulan diturunkan Al-Quran. Jadi, sepatutnya sebagai umat Islam, kita menjadikan bulan mulia ini sebagai masa untuk kita menilai diri sendiri sejauhmana kita menghayati ajaran Al-Quran, bukannya sekadar berlumba untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Al-Quran adalah kitab panduan dan rujukan peraturan dalam semua aspek kehidupan Maka, tajuk artikel Wajarkah Wanita Berpolitik?, seperti mengajak saya untuk menilai persoalan tersebut berdasarkan panduan Al-Quran, bila ia mencuit tumpuan saya 2 hari sebelum tibanya Nuzul Quran (17 Ramadhan). Ya, sebagaimana saya mengupas persoalan tersebut pada Ramadhan 1420, saya cuba untuk membahaskannya kembali pada Ramadhan kali ini.

Untuk mengupas kembali persoalan tersebut, elok saya muatkan kembali artikel saya itu untuk kita sama-sama memikirkannya. Saya rasa, ia masih tetap relevan walaupun beberapa fakta dalam artikel tersebut hanya bersesuaian ketika ia ditulis (tahun 1999).

*****************************

Wajarkah Wanita Berpolitik?

Antara isu yang sentiasa hangat diperkatakan atau evergreen ialah isu wanita. Sejak dulu lagi, isu wanita tidak pernah lapuk malah ia selalu menjadi isu kontroversi walaupun hakikatnya ia bukan kontroversi sekiranya kita melihat dan menilainya dari sudut pandangan syarak. Isu-isu seperti penglibatan wanita dalam politik, isu poligami, pendedahan aurat, pengeksploitasian dan diskriminasi wanita dan seumpamanya sentiasa menjadi tajuk perbincangan yang seolah-olah tidak pernah selesai.

Untuk tidak melebarkan perbincangan, saya hanya ingin menyentuh tentang penglibatan wanita dalam politik. Kebetulan pula negara kita baru selesai mengadakan pilihanraya pada 29 November yang lepas dan keputusannya telah sama-sama kita ketahui. Semasa pilihanraya inilah, pendirian Parti Islam se-Malaysia (PAS) yang tidak meletakkan calon wanita dijadikan modal kempen oleh parpol-parpol yang tidak bersetuju dengan Pas terutamanya UMNO. Pas ditohmah kononnya telah mendiskriminasi golongan wanita kerana menafikan hak mereka.Betulkah begitu?

Sebelum menjawab soalan tersebut, sudah tentu terlebih dahulu kita perlu menjawab persoalan; wajarkah wanita berpolitik? Atau haruskah dan bolehkan wanita berpolitik? Kalau kita memahami maksud politik yang sebenarnya, tanpa ragu-ragu kita akan mengatakan; wajar, harus, boleh bahkan perlu wanita melibatkan diri dalam politik. Orang yang mengatakan wanita tidak boleh berpolitik sebenarnya telah tersilap dalam memahami maksud politik. Mereka ini memahami politik dari sudut yang sempit.

Secara umumnya politik bermaksud hal ehwal yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran sama pengurusan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam aspek yang lebih khusus, kita hari ini lebih melihat bahawa politik ialah yang berkaitan dengan soal-soal kenegaraan, kepimpinan dan bagaimana sesebuah negara itu ditadbir dan juga meliputi hubungan antara sebuah negara dengan negara yang lain. Jadi, penglibatan dalam politik bermakna melibatkan diri dalam menentukan kepimpinan dan corak pentadbiran sesebuah negara.

Kalau begitu, betulkah tohmahan yang mengatakan bahawa tindakan tidak membenarkan wanita menjadi calon dalam pilihanraya adalah menafikan hak wanita untuk berpolitik? Bukankah dengan membenarkan wanita mengundi, berkempen dan merayu undi merupakan sumbangan yang besar dalam menentukan pemimpin dan corak pentadbiran sesebuah negara? Dengan perkataan lain, Pas tidak menafikan hak wanita untuk berpolitik dan tidak juga hak mereka untuk mencorakkan politik negara.

Ternyata tohmahan yang mengatakan Pas mendiskriminasi wanita atau menafikan hak mereka untuk berpolitik semata-mata kerana Pas tidak meletak calon wanita adalah tohmahan daripada orang-orang yang jahil politik.Ataupun mereka faham politik, tetapi sengaja mengambil kesempatan daripada senario tersebut sebagai modal kempen. Ataupun lebih terang dan nyata, orang-orang yang membuat tohmahan tersebut menampakkan bahawa mereka jahil Islam.

Islam tidak menghalang wanita berpolitik malah mewajibkan semua orang Islam supaya mengambil berat aspek politik dalam konteks menentukan pemimpin yang akan memimpin mereka. Menentukan pemimpin bermakna menentukan siapa yang berkuasa dan memerintah negara.Adakah masuk akal sekiranya wanita yang juga merupakan sebahagian daripada golongan yang dipimpin atau diperintah tidak boleh atau tidak diberi hak untuk menentukan siapa yang memerintah mereka?

Kalau wanita tidak boleh berpolitik, kenapa Rasulullah SAW menerima baiah daripada wanita di ‘Aqabah dan Madinah? Kalau wanita tiada hak dalam menentukan siapa pemimpin mereka, bukankah hanya memadai dengan Rasulullah SAW menerima baiah daripada kaum lelaki sahaja tanpa perlu melibatkan wanita? Tetapi yang telah berlaku tidak begitu, bahkan secara jelas disebut dalam surah Mumtahanah ayat 12 bahawa wanita membaiah Rasulullah SAW.
Firman Allah maksudnya, “Wahai Nabi, apabila datang kepadamu wanita-wanita yang beriman untuk mengadakan janji setia (baiah)…………maka terimalah baiah mereka dan mohonkanlah keampunan Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ayat ini menguatkan bahawa baiah wanita berasingan daripada baiah lelaki. Mereka ada hak yang tersendiri. Perintah Allah kepada Nabi SAW supaya menerima baiah mereka menunjukkan penglibatan wanita penting dan perlu.

Jadi, ayat ini menjadi dalil bahawa wanita boleh mengundi dan mereka ada hak untuk mengundi bagi menentukan pemimpin yang akan memerintah mereka. Penafian terhadap wanita dalam menentukan pemimpin mereka atau menentukan wakil mereka dalam parlimen atau majlis syura sesebuah negara bukan sahaja menafikan hak, malah menafikan kewajipan. Dalam hal ini, pada pandangan saya, keputusan sidang Majlis Negara Kuwait baru-baru ini yang tidak membenarkan wanita mengundi, tidak sepatutnya berlaku.

Melantik pemimpin adalah wajib dan wajib melantik pemimpin dari kalangan orang-orang beriman yang tidak cenderung kepada kekufuran. Tidak mungkinkah mengundi menjadi wajib sekiranya itulah wasilah dalam menentukan pemimpin yang sesuai dengan perintah Allah SWT. Kaedah feqh menyebut, “Sesuatu perkara yang tidak sempurna perkara wajib kecuali dengannya (perkara tersebut), maka perkara itu menjadi wajib.”

Cuba kita bayangkan, sekiranya golongan yang mendukung perjuangan Islam dan bermatlamatkan menegakkan syariat Islam tidak membenarkan wanita mengundi tetapi sebaliknya golongan yang menentang mereka (menentang perjuangan Islam) memberi kebebasan kepada wanita mereka untuk mengundi? Apakah yang akan berlaku? Bukankah ini satu mudharat kepada Islam dan bukankah kemudharatan itu wajib dicegah?

Kalau tidak mengundi menyebabkan mudharat dan mudharat wajib dicegah, maka, pencegahan kepada mudharat iaitu membenarkan wanita mengundi, menjadi wajib.Berhubung dengan pilihanraya juga, saya ingin menyentuh tentang pencalonan wanita sebagai wakil rakyat. Ini termasuk juga pelantikan wanita sebagai menteri kerana biasanya menteri dilantik daripada wakil rakyat yang mewakili sesuatu kawasan parlimen atau dilantik terus daripada ahli Dewan Negara (senator).

Persoalan yang ingin saya ketengahkan di sini ialah, wajarkah atau haruskah wanita menjadi wakil rakyat atau menjadi menjadi menteri? Dalam persoalan ini, saya bukannya hendak mengeluarkan fatwa atau memutuskan hukum tetapi sekadar memberikan pandangan selagimana ruang untuk berbicara dan berbincang secara ilmiah terbuka luas tanpa unsur taasub dan emosi. Pendapat saya dalam hal ini, secara peribadi saya tidak bersetuju wanita menjadi wakil rakyat (sudah tentu dengan meletakkan calon wanita dalam pilihanraya) dan juga menjadi menteri. Pendapat saya ini adalah dalam konteks negara kita, Malaysia.

Kalau kita menganggap bahawa wakil rakyat, sama ada peringkat Parlimen (Dewan Rakyat) atau Dewan Undang Negeri (DUN) adalah pemimpin bagi penduduk yang diwakili olehnya secara wilayah ‘ammah, maka tidak harus wanita menduduki tempat tersebut, kerana sudah tentu dia juga pemimpin kepada kaum lelaki di kawasan yang diwakili olehnya. Tidak adakah lelaki yang layak? Dalam solat sebagai contoh, wanita boleh jadi imam sekiranya lelaki yang ada tidak layak seperti gila dan seumpamanya.

Kalau kedudukan wakil rakyat hanyalah sebagai wakil bagi menyuarakan masalah penduduk bagi kawasan yang diwakilinya olehnya dan juga hal ehwal yang berlaku di kawasan tersebut dalam sidang Dewan Rakyat (DR) atau DUN dan tanggungjawab lain wakil rakyat, ternyata tugas tersebut tidak sesuai bagi wanita. Tidak ada maslahah atau keperluan dharuri yang memerlukannya menjadi wakil rakyat kerana tugas tersebut ternyata lebih sesuai dilakukan oleh lelaki.

Kalau hujah mereka yang mengatakan wanita perlu menjadi wakil rakyat (di Malaysia) atas dasar untuk menyuarakan pandangan wanita dalam parlimen khususnya dalam membela hak-hak mereka, sebenarnya wakil rakyat lelaki yang memahami Islam lebih membela wanita daripada wakil rakyat wanita yang jahil Islam. Jadi, kita tidak perlu wakil rakyat wanita untuk tujuan membela wanita kerana tugas tersebut boleh dilakukan oleh lelaki.

Dari aspek lain, tugas seorang wakil rakyat bukan semata-mata bercakap di DR, tetapi dia perlu keluar menemui rakyat, bergaul dengan mereka bagi mengetahui masalah mereka, seterusnya berfikir dan mencari penyelesaiannya. Wakil rakyat, menjadi tempat rakyat untuk mengadu masalah dan memohon peruntukan pembangunan dan lain-lain. Pendek kata, wakil rakyat perlu mengambil berat hal ehwal rakyat yang diwakili olehnya dan juga bertanggungjawab terhadap apa-apa yang berlaku di kawasannya. Kalau tidak, bagaimana dia hendak menyuarakannya dalam sidang DR atau DUN.

Bagaimana seorang wanita yang menjadi wakil rakyat memikul tanggungjawab sebegini rupa dan dalam masa yang sama dia perlu memikirkan tanggungjawab terhadap rumahtangganya. Pada ketika dia memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan suri rumah dan memikirkan masalah-masalah yang berkaitan, wakil rakyat wanita juga menjadi ‘bapa’ kepada rakyat yang diwakili olehnya dan bertanggungjawab memikirkan masalah mereka. Dalam keadaan itu, amat sukar untuk memastikan salah satu daripada tugas tersebut tidak terjejas.

Tugas dan tanggungjawab utama wanita ialah rumahtangga. Wanita dicipta dan difitrahkan oleh Allah SWT dari segi biologi dan psikologinya yang berbeza dengan lelaki supaya sesuai dengan tugasnya sebagai suri rumah. Perbezaan antara lelaki dan wanita ini bukannya sia-sia. Kejadian lelaki, sama ada dari aspek fizikal dan mental disesuaikan untuk melakukan tugas-tugas berat yang bersifat luaran, manakala wanita dijadikan dengan sifat yang lebih halus dan lembut daripada lelaki disesuaikan untuk melakukan tugas-tugas keibuan dan kesurirumahtanggaan yang bersifat dalaman.

Inilah yang dinamakan sebagai keseimbangannya dan pembahagian tugas sesuai dengan sifat dan kemampuan masing-masing. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah tugas wakil rakyat bukannya tugas wanita dan bukan keutamaannya kerana tidak sesuai dengan fitrah mereka dan juga wanita perlu menumpukan tugas sebagai suri rumahtangga kerana itulah keutamaan mereka. Tugas wanita sebagai rabbatul bait (suri rumahtangga) akan dipertanggungjawabkan dan akan ditanya oleh Allah SWT kerana itulah tanggungjawab khusus bagi mereka.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Setiap seorang daripada kamu adalah pemimpin (penanggungjawab) dan setiap kamu akan disoal (dipertanggungjawabkan) tentang apa yang dipimpin olehnya. Ketua adalah pemimpin dan lelaki adalah pemimpin ahli keluarganya dan wanita adalah pemimpin terhadap rumahtangga suami dan anak-anaknya, maka setiap kamu adalah pemimpin dan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin olehnya (Muttafaq ‘alaih).

Jadi, sekiranya tugas menjadi wakil rakyat menyebabkan seseorang wanita itu mengabaikan tugas dalam rumahtangga, pasti ia merupakan satu dosa kerana telah mengabaikan tanggungjawabnya yang sewajibnya dilakukan. Tugas menjadi wakil rakyat adalah berat dan sekali-sekala akan menyebabkan tekanan. Sudah tentu ini akan menjejaskan tumpuan seseorang wanita terhadap rumahtangganya.

Lainlah halnya kalau wakil rakyat wanita itu tidak ambil hirau langsung tentang rakyat yang diwakili olehnya. Kalau begitu apa faedahnya dia menjadi wakil rakyat kalau tidak mengambil tahu masalah dan keperluan rakyat. Begitu juga sebaliknya, iaitu seorang wanita itu tidak mahu memikul tanggungjawab rumahtangga dengan cara tidak mahu menjadi isteri dan ibu. Maksudnya, tidak perlu berumahtangga. Tetapi, adakah ini yang diajar oleh Islam yang menggalakkan perkahwinan dan beranak ramai bagi menguatkan Islam?

Bagaimana pula sekiranya wanita menjadi menteri? Tentulah tugasnya lebih berat daripada wakil rakyat biasa kerana terpaksa memikul dua tugas secara serentak; sebagai wakil rakyat dan sebagai menteri. Sudah tentu ini akan lebih menjejaskan tanggungjawabnya terhadap rumahtangga dan mungkin akan menyebabkan krisis disebabkan tanggungjawab yang terabai. Tugas sebagai wakil rakyat dan menteri menyebabkan seseorang wanita selalu keluar meninggalkan rumah bagi melakukan tugas-tugasnya. Tugas utama melayan suami dan anak-anak ditinggalkan dan diserahkan kepada pembantu. Bagi saya, dalam keadaan itu lebih baik isteri mempunyai madu daripada mempunyai pembantu. Suami tetap mendapat layanan isteri dan anak-anak pula, tetap sentiasa bersama ‘ibu’.

Kesimpulannya, penglibatan wanita dalam politik bukanlah semata-mata dengan menjadi calon dalam pilihanraya. Tugas sebagai wakil rakyat tidak sesuai bagi wanita. Medan politik utama wanita adalah rumahtangga. Di situlah peranan dan tanggungjawab politik mereka. Kejayaan politik wanita ialah kejayaan mereka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumahtangga.

Wallahua’alam.

Wan Zaidel Wan Shekh
22 Ramadhan 1420 / 30 Disember 1999

Khamis, 11 September 2008

Mengorek hidung dan telinga tidak membatalkan puasa.

Ramai yang bertanya, adakah mengorek hidung dan telinga membatalkan puasa. Jawapannya tidak batal. Begitu juga halnya, menyuntik ubat dalam badan, menderma darah, alat inhaler utk pesakit asma dll. Untuk penjelasan lanjut hal tersebut sila buka link ini. http://soaljawab.wordpress.com/2008/09/02/tokok-tambah-di-dalam-hal-membatal-puasa/

Sabtu, 6 September 2008

BEGINIKAH UMNO, PARTI PEMBELA MELAYU?!

Situasi 1
Ketika saya menziarahi keluarga sebelah isteri tidak lama dahulu, isteri saya mengucapkan tanhiah kepada makciknya kerana anaknya menjadi perwakilan ke perhimpunan UMNO. Sepontan makcik tu menjawab, "kalau tak bagi duit tak dapat jugak." Saya senyum saja. Agak terkejut, tetapi saya faham begitulah budaya yang ada dalam UMNO. Menyogok duit untuk terpilih menjadi perwakilan atau merebut jawatan.

Situasi 2
Ketika bertemu seorang ahli UMNO, seorang peniaga, mertua saya memujinya kerana berjaya dalam bisnes dan banyak dapat untung. Lalu dia menjawab, "tapi time pemilihan ni (maksudnya pemilihan UMNO), banyak juga pakai duit. Kurang-kurang kena bagi RM30 seorang. Kalau tidak, tak dapat pergi KL (jadi perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO di KL)." "Tapi, takpa. Nanti sampai KL dapat RM300 seorang," sambungnya seperti menaruh harapan. Mungkin dalam hatinya berkata, biarlah keluar modal dulu. Sampai KL nanti dapat untung. Cukup untuk bayar tambang flight pergi balik dan belanja di KL. Malah mungkin lebih lagi. Itulah bisnes...

CURAHAN HATI SEORANG SUAMI

(petikan drpd blog ust Zahazan Mohamad http://zahazanmohamed.blogspot.com/ )

Menurut kajian para sarjana[1], romantic seseorang itu bukanlah bergantung pada appearance physical semata-mata, sebaliknya ia datang dalam package.

1. Isteri tidak berhias di hadapan suami
- Bau tidak menyenangkan
- Pakaian tidak seksi
- Wajah tidak dijaga
- Pakaian buruk

2. Isteri tidak menjaga saiz badan
- Tidak rajin exercise
- Makan banyak
- Tidak menjaga teknik pemakanan sihat

3. Isteri pemalas
- Tidak menghias tempat tidur
- Meninggalkan dapur tanpa disusun

4. Isteri tidak cenderung kepada kegiatan-kegiatan ilmu
- Isteri lebih suka berdamping dnegan orang yang cintakan dunia berlebihan
- Isteri lebih senang menghabiskan masa di hadapan tv
- Isteri gemar mengambil tahu perkembangan artis melebihi ilmu

5. Isteri tidak menjaga hubungan dengan Allah
- Isteri tak bersolat- Isteri gemar berhias untuk keluar rumah
- Isteri mempunyai teman lelaki
- Isteri tidak ada masa untuk membaca al-Quran
- Isteri tidak pernah berdoa

[1] Contohnya Abdullah Nasih Ulwan , buku bertajuk pengantin Islam, Adab meminang dan walimah

Ulasan saya : Alangkah malangnya suami yang mempunyai isteri seperti di atas. Bersama-samalah kita memperbaiki diri dan isteri kita. (bukan senang tu...)

Persoalan selawat semasa solat tarawih

Selawat adalah ucapan doa ke atas Rasulullah SAW sebagaimana yang baginda telah ajar kepada kita. Antaranya adalah spt dalam hadis yang telah saya muatkan dalam blog sblm ini. Begitulah antara cara ucapan selawat. Selawat ke atas Nabi juga merupakan perintah Allah SWT spt yang termaktub dalam ayat Al-Quran.
Maksud firman Allah : Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56)
Kalau selawat itu dituntut, maka kenapa penghapusan amalan selawat spt ketika solat tarawih masyarakat kita, sesuatu yang baik. Jawapannya adalah seperti berikut.

1. Cara selawat sebegitu rupa (secara beramai-ramai dalam solat tarawih) tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW. Jadi, cara tersebut bukan sunnah dan bukan amalan para As-salafus Soleh (السلف الصالح)(lihat nota kaki). Lebih-lebih lagi, ia biasanya dilaung-laungkan. Bukankah Allah SWT Maha Mendengar. Jadi, ia bukan cara selawat yang betul. Selawat boleh dilakukan pada bila-bila masa dan yang pastinya kita akan berselawat setiap kali kita solat dan ia adalah wajib kerana menjadi sebahagian daripada rukun solat. Kalau kita solat tarawih 20 rakaat maka kita akan berselawat sebanyak 10 kali iaitu ketika duduk tahiyat setiap dua rakaat. Lafaznya seperti lafaz-lafaz yang disebut dalam hadis termasuk yang kita biasa baca ketika tahiyat akhir.

2. 'Mengelak mudharat (keburukan) lebih diutamakan drpd mendapat kebaikan'. Ini merupakan salah satu kaedah feqh (qawaid fiqhiyah). Sudah menjadi kebiasaan di kebanyakan masjid, bilal yang mengetuai selawat tersebut melafazkan dengan cepat beberapa ungkapan dalam rutin selawat tersebut. Kadang-kadang spt kelam kabut bunyinya hingga tak ketentuan bunyi. Makmum yang menjawab pun begitu juga. Apa tujuan sebut cepat-cepat tu...? Mahu cepat selesai kan? Kalau mahu cepat lebih baik ditiadakan terus selawat sebegitu rupa. Solat tarawih sahaja. Kalau sudah tidak ketentuan bunyinya, bukankah menjadi satu dosa. Seperti main-main saja. Tujuannya mahu dapat pahala tapi sebaliknya dosa yang dapat.

3. Fiqh Aulawiyat (mengutamakan yang utama). Dalam hal inilah ramai yang tersilap. Mereka mengutamakan yang tidak utama dan sebaliknya meremehkan atau mengabaikan sesuatu yang lebih utama atau sesuatu yang memang disuruh malah menjadi sunnah Rasulullah SAW. Dalam konteks selawat ini, saya perhatikan ramai yang mengutamakan selawat di luar solat (selingan setiap 2 rakaat) yang bukan sunnah tetapi meringankan selawat dalam solat yang merupakan rukun solat. Para jemaah, dan yang utamanya para imam tarawih meringkaskan selawat semasa tahiyat dengan hanya melafazkan ‘Allahumma solli ‘ala Muhammad’ lantas memberi salam. Ramai juga imam tidak membaca doa iftitah selepas takbiratul ihram. Apa tujuan kedua-dua perbuatan tersebut? (nak cepat kan?). Kalau ia dilakukan imam maka makmum yang mahu membaca doa iftitah dan membaca selawat yang lengkap (hingga ‘innaka hamidun majid’) tidak dapat melakukannya (mengecewakan makmum pulak!).

4. Selawat boleh dilakukan dengan cara lain. Kalau mahu juga berselawat semasa tarawih untuk memperolehi ganjaran pahala, tidak semestinya dengan cara kebanyakan orang lakukan sekarang. Bukankah selawat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dilakukan secara bersendirian; tidak ditetapkan waktu dan tidak pula sunat dilakukan secara beramai-ramai (berjemaah). Kalau ada ruang masa antara solat tarawih berselawatlah sebanyak mungkin. Selawat sendirrian dan secara perlahan. Contohnya, selepas salam dan mahu bangkit untuk dua rakaat yang seterusnya, ucapkanlah selawat sekurang-kurangnya ‘Allahumma solli ‘ala Muhammad’ (mudah kan?)

5. Selawat (yang di luar solat) bukan sebahagian solat tarawih. Ia adalah sesuatu yang pasti. Solat tarawih adalah seperti solat-solat lain juga iaitu “perbuatan-perbuatan dan perkataan-perkataan yang dimulai dengan Takbiratul Ihram dan diakhiri dengan salam”. Tidak perlu tambahan selawat beramai-ramai di luar solat tersebut. Apabila ditetapkan bentuk selawat seperti sekarang semasa tarawih, maka pada pandangan masyarakat umum, begitulah kaifiat (cara pelaksanaan) solat tarawih. Lalu, cara demikian diikuti oleh generasi demi generasi seperti yang berlaku sekarang. Kalau ada yang mahu menghapuskanya, akan dianggap membawa ‘ajaran lain’ (kesian…!) Sama halnya dengan amalan kenduri arwah masyarakat Islam Malaysia. Kenduri arwah (ruh-ruh berkenduri?) ini seperti sesuatu yang wajib. Kalau tak buat, seperti rasa bersalah. Padahal yang sebenarnya, kenduri arwah tersebut adalah bid’ah dhalalah yang disanggah semua empat mazhab muktabar (Maliki, Hanafi, Syafie, Hanbali).

Demikianlah antara pandangan saya berkenaan selawat semasa tarawih. Kalau ada yang silap tolong perbetulkan. Boleh juga dapatkan maklumat berhubung amalan dalam solat tarawih dalam laman-laman web berkaitan.

Nota kaki

As-Salafus Soleh (السلف الصالح) ialah generasi yang hidup sblm kurun ke-4 hijrah (tahun 1 - 300 hijrah) yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai kurun terbaik kerana mereka merupakan generasi yang paling hampir dengan Rasulullah SAW. Sebab itu, antara prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah ialah berpegang teguh dengan prinsip As-Salafus Soleh. Jadi, dalam beribadah sepatutnya kita mencontohi cara beribadah mereka sebagai cara selamat dan terhindar daripada unsur-unsur tokok tambah dan pengaruh adat masyarakat. Antara kayu ukur yang boleh kita gunakan ialah mengambil pendekatan sebahagian ulama feqh yang menjadikan amal ahli Madinah (amalan penduduk Madinah) sebagai sumber hukum. Ia boleh dijadikan sebagai panduan kerana semua ayat Al-Quran syariat (ibadah dan hukum hakam) diturunkan di Madinah iaitu selepas peristiwa hijrah kecuali ibadah solat fardu 5 waktu yang difardukan dua tahun sebelum hijrah (dlm peristiwa Isra' dan Mi'raj). Jadi, golongan pertama yang menerima segala bentuk ibadah sama ada drpd wahyu Allah SWT (Al-Quran) atau daripada Rasulullah SAW ialah penduduk Madinah. Cara pelaksanaan dan pengamalan syariat Islam bermula di Madinah, bermula pada zaman Rasulullah SAW (kurun pertama), seterusnya diteruskan oleh generasi sahabat (kurun ke-2) dan diikuti pula generasi tabi'en (kurun ke-3). Seterusnya amalan mrk diwarisi generasi demi generasi hingga hari ini.

Khamis, 4 September 2008

Masjid Nurul Iman tiada selawat semasa tarawih?

Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia, apabila melaksanakan solat tarawih, diselangi dengan selawat beramai-ramai setiap kali selepas salam. Namun, agak unik dan lain daripada yang lain, Masjid Nurul Iman (MNI) di Taman Pantai Lok Kawi / Kg Pituru, tiada amalan atau rutin selawat yang menyelangi setiap dua rakaat tarawih. Ia bermula sejak tahun lepas dan diteruskan pada Ramadhan tahun ini. Sebaliknya, solat tarawih dilakukan terus menerus hingga selesai 20 rakaat. Cuma diselangi rehat dengan berdoa ringkas setiap 4 rakaat.

Bagi saya, ia adalah satu perubahan yang baik. Untuk menjelaskannya, saya akan bahaskan kemudian. Ada juga yang tidak bersetuju tetapi adalah perkara biasa apabila sesuatu tindakan atau keputusan dibuat tidak semua orang yang menyetujuinya. Namun, ramai yang bersetuju dan suka dengan perubahan ini. Menurut seorang jemaah masjid, ramai yang datang bersolat tarawih di MNI kerana ringkas dan cepat habis.

Adakah kerana cepat habis saya mengatakan ia perubahan yang baik. Sebenarnya bukan...

Cara selawat ke atas Nabi

Rasulullah SAW telah mengajar kita cara berselawat ke atas baginda. Antaranya ialah seperti dalam hadis-hadis sahih riwayat Al-Bukhari di bawah ini.

Cara selawat ke atas Rasulullah SAW

3189
حدثنا عبد الله بن يوسف: أخبرنا مالك بن أنس، عن عبد الله ابن أبي بكر بن محمد بن عمرو بن حزم، عن أبيه، عن عمرو بن سليم الزرقي: أخبرني أبو حميد الساعدي رضي الله عنه أنهم قالوا:
يا رسول الله كيف نصلي عليك؟ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (قولوا: اللهم صل على محمد وأزواجه وذريته، كما صليت على إبراهيم، وبارك على محمد وأزواجه وذريته، كما باركت على آل إبراهيم إنك حميد مجيد).
[5999]
3190
حدثنا قيس بن حفص وموسى بن إسماعيل قالا: حدثنا عبد الواحد بن زياد: حدثنا أبو قرة مسلم بن سالم الهمذاني قال: حدثني عبد الله ابن عيسى: سمع عبد الرحمن بن أبي ليلى قال:
لقيني كعب بن عجرة فقال: ألا أهدي لك هدية سمعتها من النبي صلى الله عليه وسلم؟ فقلت: بلى، فأهدها لي، فقال: سألنا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقلنا: يا رسول الله، كيف الصلاة عليكم أهل البيت، فإن الله قد علمنا كيف نسلم عليكم؟ قال: (قولوا: اللهم صل على محمد وعلى آل محمد، كما صليت على إبراهيم، وعلى آل إبراهيم، إنك حميد مجيد، اللهم بارك على محمد وعلى آل محمد، كما باركت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم، إنك حميد مجيد).
[4519، 5996]

SURAT TERBUKA KEPADA ATLIT MUSLIM MALAYSIA

Salam. Di bawah ini, surat yang saya hantar kepada berita harian. Mahu hantar kepada harakah tapi tak jumpa emel. Minta kawan-kawan tolong forward kpd sesiapa yang berkenaan.


Assalamu’alaikum w.b.t

Saudara pengarang,

SURAT TERBUKA KEPADA ZAKRI LATIF DAN FAIRUZIZUAN SERTA ATLIT MUSLIM MALAYSIA

Saya merupakan salah seorang peminat sukan dan sentiasa mengikuti perkembangan sukan tanahair. Secara khususnya saya meminati sukan badminton dan bola sepak dan jarang melepaskan peluang menonton aksi pasukan atau pemain Malaysia dalam dua jenis sukan ini. Sama ada menang atau kalah, menurun atau meningkat prestasi ahli sukan Malaysia itu adalah soal kedua berbanding aspek-aspek positif yang dapat dipupuk melalui sukan seperti memenuhi masa dengan aktiviti yang menyihatkan, memupuk persahabatan, meningkatkan daya saing secara sihat, serta satu bentuk hiburan dan aktiviti riadhah yang boleh melapangkan fikiran dan mencerdaskan fikiran.

Namun, sebagai seorang yang beragama Islam atau seorang muslim, saya mengingatkan diri saya dan saudara seIslam saya semuanya, secara khususnya dalam surat ini saya tujukan kepada ahli sukan Muslim di Malaysia, bahawa dalam apa-apa bidang yang kita ceburi tuntutan agama atau syariat Islam tetap mengatasi segala-galanya kerana kita semua adalah hamba Allah dan WAJIB taat dan patuh kepada segala perintahNya sama ada dalam bentuk suruhan atau larangan. Segala aktiviti yang kita lakukan perlu selari dengan tuntutan Islam. Adalah tidak wajar syariat Islam diketepikan semata-mata kerana memenuhi keperluan keduniaan yang dicipta sendiri oleh manusia termasuk dalam bidang sukan.

Saya tergerak menulis surat ini apabila saya membaca laporan akhbar bahawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menghantar pasangan beregu badminton, Zakri – Faruzrizuan untuk menyertai Super Siri Terbuka Jepun pada bulan September akan datang. Bukankah bulan September nanti adalah bulan puasa? Adakah Zakri – Fairuzizuan bermain badminton dalam keadaan berpuasa? Macam mustahil bunyinya. Atau yang akan berlaku nanti ialah pasangan ini akan minum air di khalayak ramai semasa beraksi nanti untuk menghilangkan dahaga sedangkan sepatutnya mereka berpuasa (sekiranya perlawanan waktu siang). Bukankah perbuatan tersebut satu tindakan yang mempermainkan ajaran Islam serta mencemarkan maruah Islam serta salah faham di kalangan orang bukan Islam. Mereka akan menganggap kewajipan dalam Islam boleh ditinggalkan sekiranya bersukan.

Sukan bukan perkara yang mengharuskan seseorang berbuka puasa. Begitu juga dalam kewajipan lain seperti kewajipan solat yang lebih utama. HARAM seseorang meninggalkan solat dan juga kewajipan yang lain dengan alasan terlibat dengan aktiviti sukan. Kewajipan tetap satu kewajipan dan ia tidak boleh dikesampingkan kecuali dalam keadaan dharurat (terpaksa dan tiada pilihan). Aktiviti sukan bukan perkara dharurat. Ia boleh dilakukan pada masa lain. Tinggal sahaja keperihatinan dan kesedaran seseorang muslim untuk menjadikannya berlaku atau tidak. Tepuk dada tanyalah iman.

Jadi, nasihat saya kepada Fairuzizuan dan Zakri, batalkan penyertaan anda ke Terbuka Jepun nanti. Anda berdua punya hak dalam membuat keputusan. Dosa dan pahala bukan BAM yang tanggung tapi anda sendiri. Bayangkanlah sekiranya aksi anda berdua disiarkan secara langsung. Minum di khalayak dalam bulan puasa dan boleh disaksikan seluruh dunia. Umat Islam prihatin yang menyaksikannya pasti rasa terluka kerana syariat Islam dipermainkan oleh penganutnya.

Nasihat dan saranan saya ini bukan sahaja ditujukan kepada Zakri dan Fairuzizuan, malah kepada semua ahli sukan yang beragama Islam di Malaysia khususnya. Saya sebutkan Zakri dan Fairuzrizan kerana saya seorang peminat setia badminton dan sentiasa mengikuti perkembangannya. Batalkan aktiviti sukan anda pada bulan Ramadhan nanti dan tumpukan pada ibadat puasa. Ia adalah satu kewajipan dan hanya sekali setahun. Kalau ingin bersukan juga, boleh dilakukan pada waktu malam sebagai kegiatan riadhah untuk menyihatkan badan tanpa berlebih-lebihan.

Itu adalah aspek pertama. Aspek kedua yang saya ingin sentuh dalam surat ini ialah berkenaan dengan pakaian. Salah satu ciri ajaran Islam ialah pakaian yang menutup aurat. Dalam apa jua bidang, menutup aurat adalah satu kewajipan bagi seorang muslim. Dalam surat ini, saya sentuh secara khusus dalam bidang sukan. Islam tidak menghalang bersukan tetapi aurat hendaklah dijaga. Jika sekiranya sesuatu sukan itu (yang dipertandingkan) menyebabkan seseorang itu terpaksa mendedahkan auratnya di khalayak ramai maka hukumnya haram disertai oleh seseorang muslim seperti sukan renang dan gimnastik (wanita).

Tetapi, dalam banyak pertandingan sukan hari ini, para pesertanya tetap mendedahkan aurat sedangkan ia boleh dilakukan dengan berpakaian lengkap yakni menutup aurat baik bagi lelaki mahupun perempuan. Sukan seperti bola sepak, badminton, ping pong, tenis, bola tampar, bola keranjang dan banyak lagi boleh dilakukan dengan menutup aurat seperti berseluar panjang. Cuma yang mengikat para ahli sukan masa kini ialah adat atau kebiasaaan sedangkan ia boleh diubah dan disesuaikan dengan ajaran Islam.

Dalam sukan yang disebutkan di atas, pakaian bukan faktor yang boleh menjejaskan prestasi atau persembahan dalam pertandingan tetapi yang paling utama adalah kemahiran. Lihat sahaja Rafael Nadal. Dia adalah satu-satunya pemain tenis lelaki yang ‘menutup aurat’ yakni dengan berseluar panjang. Di mana kedudukannya sekarang? Dia adalah pemain tenis nombor satu dunia. Rafael Nadal bukanlah seorang muslim, tetapi dengan berpakaian cara Islam dia boleh menjadi seorang pemain nombor satu dunia. Ahli sukan beragama Islam sepatutnya rasa tercabar (mungkin tersindir). Rafael Nadal hujah paling kukuh bahawa pakaian menutup aurat bukan penghalang untuk menjadi ahli sukan yang hebat.

Kepada Zakri dan Fairuzizuan (kerana saya peminat anda berdua), buktikan bahawa anda berdua juga boleh menjadi seperti Rafael Nadal. Tidak mustahil satu hari nanti akan terpahat nama anda berdua sebagai pemain beregu badminton nombor satu dunia dengan berpakaian menutup aurat. Begitu juga kepada pemain-pemain Malaysia yang lain. Anda juga boleh melakukan perkara yang sama. Persoalannya bukan boleh atau tidak boleh, tetapi sama ada mahu atau tidak mahu. Itu sahaja. Pilihan di tangan anda.

Dalam sukan seperti tenis, badminton, bola sepak dan lain-lain tidak ada ditetapkan peraturan bahawa pemainnya mesti berseluar pendek. Jadi, tidak menjadi masalah bagi pemain muslim untuk berseluar panjang. Seandainya ada peraturan sedemikian pun, ia boleh diubah kerana ia adalah peraturan ciptaan manusia. Yang tidak boleh diubah ialah peraturan atau undang-undang Allah SWT. Ia wajib dipatuhi dan mengatasi segala peraturan ciptaan manusia yang banyak kelemahan.

Secara logiknya, dari aspek keselamatan, memakai seluar panjang dalam sukan tertentu seperti badminton, tenis, bola sepak, bola tampar, hoki dan lain-lain, boleh membantu mengurangkan risiko kecederaan sekirannya terjatuh atau tergelincir. Maka, sudah tentu memakai seluar panjang lebih baik, bukan sahaja dari sudut ajaran agama, malah dari sudut kesihatan dan keselamatan.

Demikanlah nasihat dan pandangan saya, bukan sahaja kepada Zakri dan Fairuzizuan, malah kepada semua saudara seIslam saya supaya dapat memikirkannya. Mudah-mudahan kita dapat menjadi muslim yang baik khususnya dengan ketibaan bulan Ramadhan yang akan menjelang tiba.Ramadhan ternyata merupakan ‘bonus’ kepada umat Islam untuk meningkatkan amalan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Jadi, janganlah kita cemari bulan yang mulia ini dengan tindakan kita yang mengetepikan syariat Islam. Allah sangat sayang kepada kita dengan memberikan kita bonus untuk menambah pahala di sisinya, kenapa pula kita tidak menyayangi Allah dan membalas anugerahNya dengan cara mematuhi syariat (peraturan dan undang-undang)Nya. Di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung.


HASAN ZAIDI (nama pena)

Wan Zaidel Wan Shekh,
Lot 686, Jalan Pandan 1,
Taman Pantai Lok Kawi,
88200 Kota Kinabalu, Sabah

Emel: hasanzaidi74@yahoo.com.my

Rabu, 3 September 2008

Salam perkenalan

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarkatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Tarikh hari ini, 3 Ramadhan 1429 bersamaan 3 September mungkin satu permulaan bagi episod baru dalam kehidupan saya dalam mengharungi dunia tanpa sempadan hari ini. Saya memulakan blog sendiri. Sebelum ini hanya dengar saja perkataan blog, tanpa ambil peduli. Malah maksud blog pun tak tahu.

Mungkin inilah saat yang saya tunggu-tunggu selama ini, iaitu mempunyai blog sendiri untuk menulis dan menyebarkan idea serta buah fikiran untuk dikongsi bersama rakan-rakan, bukan sahaja di malaysia malah seluruh dunia.

Saya kembali kepada minat dan kecenderungan saya semasa di zaman menjadi mahasiswa di Mesir hampir 10 tahun yang lepas. Masa tu, memang saya suka menulis dan mengarang dalam majalah suara kampus dan majalah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Warta.

Macam ada satu suntikan baru dalam diri saya bila mempunyai blog sendiri. Tidak sabar saya mahu menulis, berkongsi pengalaman dan buah fikiran. Kemudahan alam siber jangan dipersiakan, bisik hati saya. Kawan-kawan ramai yang sudah ada blog sendiri. Kenapa tidak saya?

Cuma, biasalah bila parang sudah lama tak diguna berkarat akhirnya. Mahu diasah balik memang lambat sikit tajam. Minat dalam bidang penulisan yang pernah saya gunakan semasa di universiti sudah lama tidak dipraktikkan. Jadi, mgkin saya perlu sedikit masa untuk mengasah minat saya itu. Masa mahu memulakan blog ini pun jari jemari saya semacam kaku mahu menekan papan kekunci laptop. Dah lama sangat tidak menulis.

Saya balik dari Mesir Tahun 2000. Sejak itu sampai sekarang saya tidak pernah menulis artikel atau rencana. Almaklumlah bila dah berkeluarga dan berkerja, sibuklah jawabnya. Baru sekarang saya nak menulis balik. Saya sudah bermula beberapa hari lepas, pertama sejak 8 tahun menulis satu tulisan yang boleh dianggap serius. Saya menghantar satu surat pembaca kepada berita harian. Kandungan utamanya ialah nasihat saya kepada atlit atau ahli sukan Malaysia yang beragama Islam supaya membatalkan semua penyertaan mereka dalam acara atau pertandingan sukan sepanjang bulan Ramadhan kerana semasa bertanding nanti sudah pasti mereka terpaksa berbuka dan akan minum akhir di khalayak ramai. Bukankah mencemar syariat Islam?

Tapi, nampaknya surat saya tu tidak dilayan oleh Berita Harian (Berita Hairan?). Yakni tidak disiarkan. Tidak menguntungkan mungkin. InsyaAllah saya akan lampirkan surat saya dalam blog ini.

Nampaknya saya dah penat. Otak tak berapa nak jalan dah ni. Dah jam 11.26 malam. Rasa penat betul. Belum hilang penat semalam ditambah penat hari ini. Tadi mengimamkan solat tarawih, walaupun dalam keadaan penat. Ingat mahu ganti orang lain, tapi orang lain ada hal masing-masing. Tapi alhamdulillah, bila memulakan solat macam diberikan kekuatan. Semakin hujung semakin bertenaga. Itulah inayah Allah. Bila balik baru rasa penat.

Walaupun penat, saya capai juga laptop. Saya dah azam dari pagi tadi mahu buat blog sendiri. Saya berhenti dululah. Mata kuyu dah ni. Jumpa lagi....