Sabtu, 14 Mac 2009

Sila ke blog ekonomi dan kesihatan saya

Pada masa ini, saya telah membina dan menerbitkan dua blog iaitu blog ini, alfaqirilallah dan blog bcitijarah. Blog al-faqirilallah ini saya khususkan untuk catatan-catatan yang berkaitan ilmu, fiqh dan fikrah (buah fikiran /pemikiran) yang berkait dengan isu-isu semasa. Manakala blog bcitijarah saya khususkan untuk catatan-catatan yang berkaitan dengan ekonomi dan kesihatan. Bagi yang berminat dengan isu ekonomi dan kesihatan serta ingin mengetahui produk-produk halal keluaran muslim boleh terus ke blog ini http://bcitijarah.blogspot.com/. Terdapat juga pautannya di atas kanan blog saya ini beserta catatan terkininya.

Isnin, 9 Mac 2009

Kita ibarat tasik dan sungai-sungai
















Selepas Maghrib malam tadi, saya meluangkan masa mengikuti tazkirah atau bayan yang disampaikan oleh salah seorang ahli jemaah tabligh di Masjid Nurul Iman, Taman Pantai Lok Kawi. Walaupun penyampainya seorang pelajar, dan menurutnya katanya, dia baru belajar bercakap di depan khalayak dan awal-awal lagi dia menyatakan bahawa majlis tersebut bukanlah majlis ilmu kerana dia bukan orang berilmu, sebenarnya ada ilmu yang dia sampaikan.

Ada yang positif yang boleh dipelajari daripada pelajar tersebut. Walaupun dia bercakap secara bersahaja dan bersembang serta tersekat-sekat, namun keberanian dia untuk bercakap di depan khalayak dan mahu belajar menyampaikan kuliah, harus dipuji. Tidak ada orang yang dilahirkan terus pandai dan ada kemampuan melakukan sesuatu perkara melainkan melalui proses pembelajaran. Maka, apabila belajar sudah pasti ada kelemahan dan kesilapan. Sebarang kelemahan dan kesilapan itu merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran.

Satu ilmu yang saya dapat daripada tazkirah pelajar tersebut ialah, perumpamaan yang dia berikan mengenai hubungan diri kita dengan segala pancaindera kita. Badan kita ini ibarat tasik dan semua pancaindera seperti mata, telinga, lidah dan lain-lain ibarat sungai-sungai yang mengalir ke tasik tersebut. Jika semua sungai-sungai yang mengalir ke tasik tersebut bersih, maka air tasik tersebut pasti juga bersih. Sebaliknya, jika salah satu saja sungai yang mengalir ke tasik tersebut kotor, tercemar dan airnya kotor sudah pasti ia akan mengotori dan mencemari tasik tersebut, walaupun air dari sungai-sungai yang lain bersih.

Maka, untuk menjadikan tasik benar-benar bersih, semua sungai-sungai yang mengalir ke arahnya perlu dipastikan bersih. Begitu juga dengan diri kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan segala anggota dan pancaindera kita sentiasa baik, dalam erti kata menggunakannya untuk kebaikan dan memeliharanya daripada melakukan kejahatan. Kalau sebahagian saja kita jaga, sebahagian yang lain akan mencemari diri kita atau mempengaruhi keperibadian kita. Malah, kejahatan atau dosa yang dilakukan akan merosakkan kebaikan dan pahala yang dilakukan.

Kadang-kadang kita ada mendengar kata-kata seperti, "walaupun saya ini tidak bertudung (tidak menutup aurat), tapi saya baik hati, saya tetap bayar zakat, bantu orang susah." Perkara yang baik tetap kita puji, tetapi di sisi Allah SWT, kewajipan kita bukan hanya pada satu perkara sahaja. Tidak wajar bagi seseorang yang beriman, melakukan sebahagian kewajipan manakala sebahagian lagi ditinggalkan. Kita bimbang sekiranya kebaikan yang kita lakukan itu dicemari dengan kejahatan yang kita lakukan sehingga kita tetap dipandang sebagai seorang yang 'kotor' walaupun ada kebaikan yang kita lakukan. Wallahua'alam.

Ahad, 8 Mac 2009

Demi bahasa dan anak bangsa, mereka bersuara

Hati saya tersentuh apabila melihat orang tua seperti Pak Samad (SN A. Samad Said) turut sama menanggung kepedihan akibat tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis ketika perhimpunan 100, 000 membantah PPSMI. Tentu kita bertanya, kenapakah orang tua seperti Pak Samad, Datuk Hasan Ahmad dan lain-lain yang sudah berada di penghujung usia turut sama bersesak-sesak bersama orang ramai, menanggung risiko kesakitan dan kepedihan akibat gas pemedih mata pihak polis dan kemungkinan ditangkap atau dikenakan tindakan undang-undang.
Kenapa mereka begitu bersemangat bersama-sama orang ramai mahu supaya PPSMI dihapuskan dan dikembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu? Orang tua seperti Pak Samad sudah melalui pelbagai liku kehidupan dengan segala pahit manisnya. Kenapakah beliau tidak berehat saja di rumah memandang usia yang lanjut dan tenaga yang kurang. Biarlah saja orang-orang muda yang berdemonstrasi kerana mereka lebih bertenaga. Sudah pasti ada sebabnya.

Generasi lama seperti Pak Samad, Datuk Hasan Ahmad, Dinsman dan tokoh-tokoh bahasa dan sasterawan yang lain, turut sama berhimpun dan berdemonstrasi adalah demi anak bangsa mereka dan generasi yang bakal menggantikan mereka. Tiada apa-apa kepentingan peribadi di situ. Mereka tidak diupah untuk berhimpun atau dijanjikan ganjaran tertentu atau dianugerahkan gelaran serta diberi kedudukan istimewa. Malah mereka turun, merendahkan diri (dengan status mereka sebagai tokoh yang dikenali dan dihormati) dengan bersesak bersama orang ramai, disembur dengan air dan ditembak pemedih mata oleh polis serta menghadapi risiko kecederaan, penahanan dan sebagainya.

Setelah PPSMI dilaksanakan hampir 6 tahun sudah nampak kepincangan dan kesan negatifnya kepada anak bangsa kita khususnya pelajar-pelajar luar bandar dan pedalaman. Mereka menjadi mangsa. Peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran dibataskan dengan PPSMI. Malah, keperluan yang paling asas, iaitu untuk mendapatkan ilmu matematik dan sains yang boleh mereka apalikasikan dalam kehidupan mereka tidak tercapai kerana ilmu tersebut diajar dalam bahasa yang asing bagi mereka. Ilmu yang dipelajari adalah untuk diaplikasi atau digunakan dalam menjalani kehidupan. Apa maknanya, kalau untuk mendapat sesuatu ilmu menjadi sukar kerana dihalang oleh bahasa. Bahasa adalah alat. Alat untuk mendapat ilmu. Jadi, alat perlu sesuai.

Contohnya, untuk menangkap sesuatu jenis ikan kita perlu menggunakan jaring yang sesuai supaya ikan tersebut terus melekat pada jaring. Tapi, kalau kita menggunakan jaring yang tidak sesuai, terlalu jarang atau terlalu rapat, sukar untuk mendapat ikan yang kita kehendaki. Mungkin dapat juga, tetapi hasilnya sikit dan tidak memuaskan hati. Atau kemungkinan kita akan mendapat ikan yang lain, yang kita tidak kehendaki.

Begitulah halnya dengan PPSMI. Ia adalah jaring yang salah. Anak-anak bangsa kita hendak makan ikan kerana ikan memang diperlukan untuk kehidupan mereka. Tapi malangnya, mereka diberi jaring yang tidak sesuai, atau mata kail yang terlalu besar hingga ikan susah nak sangkut. Bertungkus lumuslah mereka menjaring atau memancing setiap hari demi mendapatkan ikan kerana mereka kelaparan. Mereka bukan setakat menghadapi kesukaran air yang deras, cuaca yang tidak menentu, pancaran panas matahari dan lain-lain, malah kesukaran tersebut bertambah-tambah disebabkan jaring atau kail yang tidak sesuai. Bayangkan kalau anda berada di tempat tersebut.
Saya menggunakan contoh jaring dan ikan kerana saya pernah mengalami kehidupan bersama ayah yang bekerja menangkap ikan. Ayah saya menangkap ikan setiap hari atau selang beberapa hari untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Di samping dimakan, ikan-ikan dan juga udang yang diperolehi akan dijual sebagai sumber pendapatan. Selain itu, ayah juga menanam padi dan berkebun kelapa. Setiap kali cuti sekolah, saya dan adik-adik akan membantu ayah, sama ada di kebun, huma atau di sungai (Batang Sadong).
Ketika bersama-sama ayah, sudah menjadi kebiasaan ayah akan menurunkan ilmunya berkaitan dengan ikan, alat yang digunakan, keadaan air, tempat yang sesuai dan lain-lain. Ilmu-ilmu tentang ikan dan alat yang digunakan itu penting kerana tanpa ilmu atau pengetahuan tersebut, hasil yang diperolehi tidak seberapa. Alat menangkap ikan yang digunakan mesti sesuai dengan ikan yang hendak ditangkap. Canggih macamana sekalipun alat yang digunakan, ia tidak bermakna atau tidak bermanfaat kalau tidak sesuai atau tidak tahu menggunakannya.
Behubung dengan PPSMI, ia bukan setakat tidak membantu malah boleh dikatakan menzalimi sebahagian besar anak-anak bangsa, khususnya yang berada di luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak. Contohnya, saya mengajar di Sabah, di salah sebuah sekolah pedalaman (walaupun dekat Kota Kinabalu kerana faktor geografi dan penduduknya). Untuk makluman, tahap akademik pelajar-pelajar di sini ini memang rendah, malah satu ketika 20 peratus pelajar tingkatan satu tidak pandai membaca. Bukan setakat bahasa Inggeris, malah bahasa Melayu pun mereka belum menguasainya lagi.
Ketika ujian pengesanan bagi mata pelajaran matematik dan sains yang sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris saya kasihan melihat pelajar-pelajar Tingkatan Satu yang saya awasi. Setelah kertas-kertas soalan diedarkan, saya melihat pelajar-pelajar di kelas yang pelajarnya melebihi 30 orang itu, terkebil-kebil dan seperti melihat kertas kosong saja. Mereka tidak tahu apa-apa. Akhirnya, kertas soalan yang perlu dijawab dalam tempoh 1 jam itu, siap dalam masa 15 minit saja.
"Ustaz! Dah siap," seorang pelajar bersuara. Saya melihat jam. Baru 15 minit. Adakah mereka terlalu pandai? Pastinya tidak, kerana mereka hanya 'menembak' semua soalan yang berbentuk aneka pilihan tersebut.
Saya harap mereka menembak jawapan sahaja. Jangan ada nanti, ada yang hendak menembak kepala orang-orang yang masih 'bangang' dan 'bengong' serta berkepala batu, yang masih mahu mempertahankan PPSMI. Maaf, saya berbahasa kasar.
"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," kata SN A. Samad Said, sambil mengesat matanya yang pedih akibat tembakan pemedih mata pihak polis.

Jumaat, 12 Disember 2008

DITEMBUSI 12 BUTIR PELURU TETAPI MASIH HIDUP

Ketika menasihati Po, si Kung Fu Panda, master sifu Oogway (kura-kura tua yang sangat berpengalaman) menyebut satu pepatah, "Yesterday is history, tomorrow is a mystery, but today is a gift, that is why its called present.." Maksudnya lebih kurang, "kelmarin adalah sejarah, esok adalah satu misteri, tetapi hari ini adalah satu pemberian, sebab itu ia disebut sebagai 'hadiah' (present)..

Saya tertarik dengan kata-kata tersebut ketika menonton filem animasi Kung Fu Panda. Ia merupakan satu pepatah yang sangat bagus. Saya tidak bercadang untuk mengulas keseluruhan maksud kata-kata tersebut. Sama-samalah kita memikirkan maksud tersirat di sebalik kata-kata tersebut.

Saya hanya ingin menceritakan tentang sejarah, yang kadang-kadang jarang kita ambil peduli dan ambil iktibar daripadanya. Sebab itu, sebahagian manusia pada hari ini mudah lupa diri dan selalu bertindak negatif kerana tidak mengambil iktibar drpd sejarah. Kerana sejarahlah kita ada pada hari ini. Sejarahnya, kita pernah berada dalam rahim ibu kita, dilahirkan dan dibesarkan seterusnya menjadi diri kita pada hari ini.

Sebahagian manusia juga berpandangan negatif pada orang lain atau mempunyai persepsi yang salah dan lari daripada kebenaran sekiranya tidak mengetahu sejarah. Itulah antara perkara yang saya boleh belajar daripada apa yang berlaku pada diri saya sendiri.

Kisahnya masih sekitar majlis perkahwinan di Kudat. Pada hari terakhir di Kudat iaitu pada 6 Disember, sebelum pulang ke Kota Kinabalu saya sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan pasangan nenek anak saya itu dan suaminya yang bernama Rahim di rumah pengantin lelaki. Sebelum majlis makan, seorang lelaki tua berkopiah putih di sebelah pintu meminta memulakan majlis dengan berdoa.

Selesai berdoa, hadirin yang hadir dijemput menjamu makanan yang siap terhidang. Saya duduk makan bersebelahan lelaki tua tadi. Elok saya panggil dia pakcik. Ketika mula menjamah makanan saya agak terkejut apabila saya mendapati pakcik tadi makan menggunakan tangan kiri. Saya memerhati tangan kanannya. Tiada apa-apa kecacatan pada tangan kanannya. Ia kelihatan normal. Pada sangkaan saya, mungkin pakcik ini kidal. Tapi, biasanya kalau orang kidal sekalipun biasanya apabila makan, mrk makan dengan tangan kanan, fikir saya lagi.

Saya tidak mahu terus memikirkan perkara itu. Saya hanya bersangka memang pakcik itu tidak pandai makan menggunakan tangan kanan lantaran 'kekidalannya'. Saya terus memulakan bicara untuk berkenalan. Sambil makan, kami berbual-bual tentang diri dan keluarga masing-masing dan sesekali bercerita tentang latar belakang dan kerja. Rupa-rupanya pakcik tersebut adalah bapa saudara kepada pengantin lelaki. Bapa pengantin adalah adiknya.

Pakcik itu memberitahu saya bahawa dia tinggal di kampung tersebut sejak zaman Jepun lagi (1940-an). Usianya sekarang sudah 76 tahun. Dipendekkan cerita, pakcik tersebut menceritakan bahawa dia dulu pernah ditembak. Tarikhnya,10 Mei 1977. Orang yang menembaknya ialah rakan dia sendiri, seorang berbangsa Cina. Ceritanya, mereka sama-sama pergi berburu rusa. Dalam perjalanan, rakannya itu terpetik picu senapang dan tepat mengenainya yang berjalan di belakang dalam jarak lebik kurang 10 depa. 12 butir peluru mengenai badannya, 9 butir menembusi dada dan 3 lagi mengenai lengan kanannya berhampiran bahu.

Akibat tembakan tersebut dia terus rebah dan menyangka dirinya akan mati. Tetapi takdir Allah SWT menentukan segala-galanya. Dia telah dihantar oleh rakan-rakannya ke hospital dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Selama 24 hari dia berada di wad mendapatkan rawatan akibat kecederaan tembakan tersebut. Begitulah pengalaman pakcik tersebut yang beliau tidak boleh lupakan hingga sekarang.

Selepas makan, saya masih berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut pengalaman pakcik tersebut. Tetapi, ada satu perkara yang saya belum tahu tentang pakcik itu. Saya belum tahu namanya. Itulah kesilapan saya. Sepatutnya, mengikut nasihat para ulama, kita perlu tahu nama seseorang sebelum bercakapnya. Adalah sesuatu yang dianggap 'zalim' apabila bercakap atau bersembang dengan seseorang dan kemudian meninggalkannya tanpa mengetahui namanya. Sama juga apabila masuk masjid dan keluar tanpa mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid.

"Pakcik nama apa ya?", saya terus bertanya sebaik selepas mencuci tangan.
"Haji Yusuf," balasnya.
Barulah saya lega apabila sudah mengetahui nama pakcik tu. Baru rasa senang untuk meneruskan perbualan.
"Ada bekas bekas parut ke, tempat pakcik kena tembak tu?" tanya saya seolah-olah meragui cerita yang beliau ditembusi 12 butir peluru. Memang saya ingin melihatnya sebagai bukti.

Tanpa banyak soal pakcik tersbut terus mengangkat baju-T yang dipakainya, lantas menampakkan dadanya yang agak menggerutu dan berparut-parut kecil.
"Inilah bekasnya, tiga butir tembus terus ke belakang, enam lagi tertanam di dalam."
Saya hanya mengangguk-angguk tanpa ragu kerana jelas kesan parut yang menembus dada beliau. Kemudian beliau terus menyinsingkan lengan baju sebelah kanannya dan kelihatanlah lengan atasnya berhampiran bahu yang melengkung ke dalam seperti berparit.
"Di sini tiga butir peluru yang masuk. Doktor terpaksa bedah untuk keluarkan peluru. Urat bawah ini putus," terang Hj Yusuf kepada saya.
"Jadi, tiga jari ini tidak boleh bergerak." Lanjut beliau lagi sambil menunjukkan jari kelingking, manis dan tengahnya. Akibat otot atas yang bersambung ke jarinya terputus, maka tiga jari tersebut tidak berfungsi.

"Sejak itulah saya tidak boleh makan menggunakan tangan kanan. Bila nak mengambil nasi, nasi akan jatuh apabila saya angkat tangan. Jadi, saya terpaksa makan guna tangan kiri. Sampai sekaranglah," jelas beliau lantas menafikan dan memadamkan tanggapan awal saya tadi. Rupanya, tangan kanannya sudah cacat akibat tembakan, menyebabkan beliau terpaksa makan dengan tangan kiri, bukannya kerana beliau kidal seperti anggapan saya.

Ketahuilah sejarah, supaya kita faham apa yang berlaku sekarang, untuk menghadapi masa hadapan. Itulah pengajajaran atau iktibar yang saya dapat ambil daripada kisah Hj Yusuf tersebut.

Khamis, 11 Disember 2008

3 GENERASI YANG SEBAYA

Assalamualaikum...


Sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini. Lantaran sibuk dan mengutamakan tanggungjawab yang sedia terpikul saya lupakan sementara blog ini. Jadi, pada kesempatan yang ada ini, saya cuba mengisi blog saya dengan coretan-coretan ringkas, yang mungkin ada manfaat dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya.

Baru-baru ini, iaitu pada 4, 5 dan 6 Disember saya berada di Kudat untuk menghadiri majlis perkahwinan ibu saudara isteri saya. Agak janggal bunyinya kerana anak saudara sudah beranak tiga tapi ibu saudara baru berkahwin. Bagi anak saya, bermakna dia menghadiri majlis perkahwinan neneknya. Memang bunyinya agak janggal tetapi bagi sebahagian orang yang berkeluarga besar seperti isteri saya perkara tersebut biasa kerana berlaku jarak usia yang dekat antara beberapa generasi. Contohnya anak saya mempunyai pakcik dan nenek saudara yang seusia dengannya. Perhatikan gambar di bawah.















Sebelah kiri ialah anak sulung saya, Syarifah Aisyah Rafiqah (Aisyah), manakala di tengah adalah pakciknya, Mohd Zawawi Azhad (kami panggil Awi). Awi adalah anak bungsu makcik isteri saya. Sedangkan di sebelah kanan ialah nenek saudara kepada Aisyah, Mahirah. Mahirah adalah adik kepada ibu Awi. Jadi, 3 generasi tetapi seusia. Gambar di bawah diambil pada tahun 2005 ketika mereka berusia 4 tahun. Sekarang (2008) mereka sama-sama di Tahun Satu sekolah rendah.

Majlis perkahwinan yang kami hadiri ialah perkahwinan kakak kepada Mahirah, Nur Falah. Mahirah adalah adik bungsu (sebapa) ibu mertua saya. Ketika Mahirah dilahirkan, usia bapanya (datuk isteri saya) telah melebihi 70 tahun! Jarang kita jumpa orang yang sudah melebihi usia 70 masih mampu mendapat zuriat. Bagi lelaki pada usia 70 mungkin tidak begitu menghairankan sekiranya masih ada tenaga. Bagaimana kalau wanita. Baru-baru ini di India seorang wanita berusia 70 tahun melahirkan anak. Luar biasa bukan. Itulah kuasa dan kehendak Allah SWT. Tiada yang mustahil jika Dia berkehendak sesuatu itu berlaku.

Khamis, 25 September 2008

HIKAYAT SI PENANGKAP NIAT dan PENYAKIT SINIMETULAT



Assalamualaikum…

Sebenarnya banyak isu-isu yang menarik perhatian saya pada ketika ini, sama ada isu semasa khususnya yang berkaitan pergolakan politik tanahair, atau isu yang bersifat ‘evergreen’ atau yang berlaku sepanjang zaman seperti isu wanita yang antaranya saya sentuh dalam tulisan ‘kitar semula’ saya sebelum ini bertajuk Wajarkah Wanita Berpolitik dan isu-isu lain seperti isu sosial, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain.

Keinginan untuk menulis dan mengulas mengenai isu-isu tersebut memang berkobar-kobar tapi apakan daya, saya tidak punya masa. Komitmen pada kerjaya dan keluarga menyempitkan waktu saya untuk menulis dan berkarya. Kerana sibuk dan memikirkan banyak perkara dan masalah, otak saya pada masa ini agak ‘jammed’ (BM – sesak), ada idea tapi tidak boleh bergerak macam kereta yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Otak saya ibarat kereta yang saya pandu, membawa ramai penumpang tapi tidak mampu dihantar ke destinasi masing-masing kerana tersekat dalam kesesakan.

Untuk melegakan tekanan kesesakan otak saya itu dan mungkin juga kesesakan otak pembaca sekalian, saya ingin bercerita tentang kisah benar yang berlaku dalam masyarakat kita, khususnya masyarakat Melayu. Macam sesak di jalan raya, kita pasanglah lagu-lagu atau bercerita dengan penumpang untuk kurangkan tekanan. Ceritanya apa ya? Ya memang satu cerita dan memang sentiasa ada cerita tentang apa yang saya nak cerita. Ia adalah kisah benar. Tiada yang tidak benar melainkan benar belaka (aik! macam dalam mahkamah pulak).

Alkisah….. Jeng! Jeng!

HIKAYAT SI PENANGKAP NIAT dan PENYAKIT SINIMETULAT

Pada tahun 1998 (tarikhnya, lupa pula nak catat dalam diari), di bumi Mesir, ketika saya masih menuntut di sana, saya menuju ke sebuah masjid bernama Masjid ‘Ibadur Rahman untuk menunaikan solat Maghrib.

Sebaik saja saya melangkah masuk ke dalam masjid, imam baru saja memulakan solat dengan bertakbiratul ihram. Jadi, saya terus saja menuju ke arah saf belakang dan menyambung saf yang belum penuh. Tapi, sebelum saya bertakbiratul ihram untuk memulakan solat, tumpuan saya terganggu oleh satu pergelutan yang betul-betul berlaku di sebelah saya.

Pergelutan tersebut melibatkan makmum yang berdiri di sebelah saya. Memang saya kenal orangnya. Seorang mahasiswa dari Malaysia yang baru (jurusan syariah kalau tak silap). Dia baru sahaja beberapa bulan berada di Mesir untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar di tahun satu. Junior sayalah. Pada masa itu saya berada di tahun tiga.

Ya, mahasisiwa baru itu (tidak perlu saya sebut namanya – saya namakan fulan saja) sedang bergelut. Memang betul-betul bergelut. Antara yang terhebat pernah saya saksikan. Dia bergelut untuk menangkap sesuatu. Dia bergelut untuk menangkap makhluk bernama ‘niat’. Ibarat seekor tikus liar, nampaknya ‘niat’ yang dia cuba nak tangkap itu begitu liar sekali. Ketika saya masuk tadi, dia sudah bertakbir sekali bersama imam untu menangkap niat tersebut. Tapi niat itu terlepas. Ketika saya bertakbiratul ihram, dia sudah kali kedua mengangkat tangan untuk menangkap semula niatnya itu.

Amin!.. Saya melafazkan amin bersama imam yang baru selesai menyudahkan Al-Fatihahnya pada ketika si fulan tadi mengangkat tangan kali ketiga untuk menangkap niatnya itu yang ternyata amat sukar untuk dijinakkan. Saya rasa lega kerana walaupun lewat masuk daripada si fulan, saya dapat melafazkan amin bersama imam sedangkan si fulan masih lagi bergelut.

Saya tidak perlu bergelut. Saya pun ada niat juga. Cuma, bezanya niat si fulan tu sangat liar, niat saya begitu jinak sekali. Niat saya sangat manja. Ia sudah mengikut saya dari rumah lagi dan tetap setia. Ia tak lari ke mana-mana selagi mana saya tidak menyuruhnya pergi atau ketika saya tidur. Ketika saya tidur, niat tidak bersama saya kerana ia pun berehat juga. Setiap kali saya memerlukannya ia terus hadir tanpa saya perlu mengejar dan menangkapnya. Alhamdulillah..

Saya terus memberikan perhatian kepada bacaan surah imam. Walaupun demikian, perhatian saya tetap terganggu dengan aksi pergelutan yang masih berterusan di sebelah kanan saya. Kasihan si fulan tu. Dia mengangkat tangan kali keempat. Dia masih belum berjaya menangkap niatnya. Liar dan licik betul. Memang licik. Bayangkan saja, setiap kali si fulan tu mengangkat tangannnya dan ‘menekup niatnya’ di dadanya, kedua-dua sikunya bergerak-gerak ke depan dan ke belakang dan kadangkala terketar-ketar. Mungkin diasak dengan hebat oleh niatnya yang mungkin mahu melepaskan diri.

Bukan setakat itu saja. Mungkin kerana amat dahsyat rontaan niatnya yang mahu lari itu, mulut si fulan itu terkumat-kamit. Saya tidak tahu apa yang dibacanya. Tapi, ada mengeluarkan bunyi yang agak pelik.. Kcusyy…kcusyy…kcusyy (nak eja pun tak reti). Mungkin bunyi itu bacaan untuk menenangkan niatnya. Bunyi itu serentak dengan getaran dan gerakan sikunya sambil kedua-dua tanganya didakap erat ke dada (mungkin untuk menekan niat). Kombinasi getaran, gerakan siku dan bunyi mulut berterusan untuk beberapa ketika. Si fulan begitu berusaha bagi memastikan niatnya tidak terlepas.

Tetapi…, cus! Tiba-tiba saja niat si fulan tu melompat keluar. Terlepas lagi. Alahai niat! Kenapalah engkau degil sangat. Tidakkah engkau kasihan pada tuanmu ini. Marilah sayang! Imam sudah hampir habis bacaan surahnya. Mungkin itu keluhan hati si fulan. Si fulan melepaskan tangannya semula. Bukan putus asa. Tetapi untuk memulakan semula ‘perjuangan suci’ untuk menangkap niat. Dia menarik nafas dan menangkat tangan kali kelima. Proses yang sama berulang buat kali kelima. Dakapan tangan erat di dada, kedua-dua siku bergetar dan bergerak ke depan ke belakang serta dikombinasi dengan bunyi kcusyy…kcusyy…kcusyy.

Saya yang dari awal tadi agak terganggu dengan aksi pergelutan si fulan dengan niatnya, terus menghayati bacaan imam. Dapat juga saya menangkap makna ayat-ayat yang dibaca oleh imam. Itulah kelebihannya belajar bahasa Arab. Boleh mengetahui makna bacaan dan membantu kekusyukan. Tetapi amat malang bagi si fulan sebelah saya. Dia juga belajar bahasa Arab, tetapi belum berpeluang menghayati bacaan imam kerana masih lagi bergelut mengurus niatnya yang degil itu. Lima kali berturut-turut dia cuba menangkap niatnya tetapi belum dapat.

Allahu Akbar! Imam bertakbir untuk rukuk. Saya turut rukuk dan sempat juga saya menjeling ke sebelah (jangan ragu ye…bolehah menjeling…). Rupa-rupanya usaha kali kelima si fulan tadi untuk menangkap niatnya tidak juga berhasil. Dia melepaskan tangannya dan sebaik saja melihat imam sudah rukuk, dia terus mengangkat tangan kali keenam, bertakbir dan terus rukuk bersama imam. Elok saja niat dia masuk dan mendakap tuannya itu.

Nakal betul niatnya itu. Kata orang Sarawak mancai / mancal. Suka nyakat (mengacau) tuannya. Dari tadi tuannya berusaha untuk menangkap dan mendakapnya dengan penuh kepayahan dan pergelutan tetapi tidak berjaya.Tetapi apabila imam rukuk dengan tiba-tiba saja niatnya itu menyerah diri, pasrah dan mengikut tuannya.

Cerita tentang niat si fulan tu tidak terhenti setakat itu saja. Pada ketika yang lain, di masjid yang sama, saya sekali lagi menyaksikan pergelutan antara si fulan dengan niatnya. Mungkin begitulah setiap kali dia hendak solat. Tiba saja waktu hendak solat, niatnya buat perangai. Peristiwa kali kedua ini lebih dramatik. Kalau orang yang tak faham, mungkin boleh terpancit air kencing akibat menahan ketawa.


Apa ceritanya? Begini… Kalau sebelum ini si fulan bergelut dengan niat Maghrib, kali ini niat Isyak yang dihadapinya. Tidak kalah degil dan nakal niat Isyaknya ini. Adegan yang hampir sama berulang seperti peristiwa di atas tadi. Cuma bezanya kali ini saya datang lebih awal daripada si fulan. Ketika itu, saya sudah dalam solat, mula menghayati bacaaan Al-Fatihah imam yang memang lantang di masjid itu. Saya berada dihujung saf belakang sebelah kiri. Si fulan datang menyambung saf itu di sebelah kiri saya.

Selesai saja imam mengaminkan Al-Fatihah dituruti bersama oleh makmum, si fulan baru sampai dan memulakan proses penangkapan niat yang memang sudah biasa dilakukan olehnya. Dia mengangkat tangan kali pertama dan bermulalah aksi seperti yang saya ceritakan sebelum ini. Angkat tangan agak tinggi, di bawa ke hadapan, kemudian dengan cepat didakap ke dada lalu dipeluk erat, dikuti dengan getaran dan gerakan siku kanan dan kiri bertalu-talu ke depan ke belakang disertai bunyi kcusyy…kcusyy…kcusyy.

Sekali lagi saya tidak tahu, tidak faham dan tidak jelas apa yang dibacanya. Saya kurang arif tentang bunyi itu. Mungkin pembaca boleh tanya pakar dalam bidang niat ini. Kemungkinan ada bacaan-bacaan khusus untuk menjinakkan niat. Ya, mungkin, untuk makhluk niat yang sangat degil, yang kurang mesra insan, kurang mesra alam. Begitulah bunyi yang saya dengar setiap kali si fulan hendak menangkap niatnya.

Seperti biasa, percubaan pertama si fulan gagal. Yakni dia sekali lagi gagal menangkap niat untuk kali pertama. Dia pasti cuba untuk menangkap niatnya untuk memastikannya bersama ketika solat. Kalau tidak, solatnya tidak diterima. Dia memulakan aksinya kali kedua. Perkara yang sama berulang sepertimana percubaan pertama.

Ketika itu masuk seorang makmum baru. Bukan orang Melayu tapi penduduk tempatan, orang Arab. Orang Arab itu, berbadan tegap dan masih muda, mungkin hampir 40 tahun, terus saja masuk saf, menyambung di sebelah kiri si fulan. Sesudah memastikan kakinya selari dengan makmum di sebelahnya, dia terus bertakbir, agak cepat bunyinya tapi jelas dan meletakkan tangan di bawah dadanya. Begitu mudah sekali. Orang Arab itu terus tunduk memerhati tempat sujud lantas menghayati bacaan imam. Agak panjang bacaan imam pada solat Isyak malam itu. Pada ketika itu, si fulan masih lagi bergelut, bertungkus lumus untuk menjinakkan niatnya yang liar itu.

Saya, pemuda Arab yang datang lewat tadi dan makmum yang lain sudah tenang dalam solat sedangkan si fulan terus melayani kerenah kenakalan niatnya itu. Setelah gagal kali kedua, dia menucuba kali ketiga, kali keempat dan kali kelima dengan aksi-aksi yang saya sebutkan tadi. Setiap kali proses ia memakan masa agak lama, mungkin saya ingat sekitar 10 saat. Kalau enam kali sudah 1 minit.

Si fulan mengangkat tangan kali kelima… ‘Allahu Akk….Pap!!!Tiba-tiba….dengan tidak semena-mena tangan kanan pemuda Arab yang berada di sebelah kiri si fulan terangkat tinggi dan dengan pantas singgah di belakang si fulan tadi. Orang Arab tadi menepo (dialek Sarawak bermaksud memukul dgn tapak tangan) belakang si fulan yang malang. Terangkat badan fulan tu dibuatnya. Memang kuat. Nasib baik si fulan juga berbadan tegap. Kalau tidak nescaya terdorong ke depan. Nasib baik juga si fulan tidak sakit jantung. Kalau tidak, mungkin jatuh tersungkur dan gol… (maaf kalau istilah tak betul).

Terkejut saya dibuatnya. Siapa sangka si Arab yang kelihatan tenang dalam solat bingkas bertindak ‘ganas’ membuat ‘pukulan maut’ menghilangkan serta merta ‘keasyikan’ si fulan yang sedang berusaha ‘mendakap’ niatnya. Amat malang sekali. Menelan air liur si fulan untuk menenangkan dirinya. Nasib baik baik dia tidak panik. Bayangkan kalau ada tindak balas daripada di fulan, katakan tangannya terangkat dan melayang ke muka si Arab. Nayalah si Arab tu. Fuhh… lega.

Akibat pukulan maut si Arab tadi, si fulan yang tersentak dan seperti baru sedar di bumi nyata, meneruskan ‘urusan’ niat yang belum selesai. Tapi kali ini sudah berbeza. Dengan tenang dia mengangkat tangan kali keenam dan bertakbir lalu meneruskan solatnya. Imam masih lagi membaca surah. Sempat juga si fulan membaca Al-Fatihah (mungkin si fulan menganggap ia perlu walaupun sudah dibaca imam).

Apa sudah terjadi dengan niat Isyak si fulan tadi? Macam tidak liar lagi. Agaknya, pukulan maut si Arab tadi menyebabkan si niat tu terpenyek dan hampir pengsan. Sudah menyak-menyak (ada ke bahasa ni?). Tidak mampu lagi melawan kerana mengalami ‘kecederaan’ kesan pukulan yang tidak disangka-sangka daripada orang Arab tu. Kalaulah niat tu ibarat makhluk hidup seperti seekor kucing, saya agak mungkin sudah berterabur kencing dan najisnya akibat amat terkejut dengan tamparan yang kuat itu. Memang patut juga orang Arab itu berbuat begitu untuk mengajar niat tu. Tak habis-habis menyusahkan tuannya saja. Rasakan.. Ambil engkau…Mungkin itu bisik hati si Arab tu.



Begitulah antara peristiwa bersejarah dalam hidup saya yang tidak pernah saya lupakan hingga kini. Satu peristiwa tentang penyakit orang Melayu. Dalam situasi kedua tadi, ternyata orang Arab tadi panas hati dan terganggu dengan gelagat dan aksi si fulan yang memang sangat pelik bagi masyarakat dia (Arab). Mungkin aksi itu hanya dalam masyarakat Melayu. Wallahu ‘alam saya kurang pasti. Kasihan sungguh orang Melayu. Selalu saja dipermainkan oleh niat mereka, khususnya ketika hendak solat. Sampai sekarang penyakit Sindrom Niat Melayu Waktu Solat (Sinimetulat) masih lagi berlaku. Niat-niat yang liar dan sukar ditangkap menyebabkan orang-orang Melayu seperti kepayahan hendak memulakan solat.



Sindrom Niat Melayu Waktu Solat (Sinimetulat) mendapat namanya kerana penyakit ini hanya berlaku waktu solat. Belum kedengaran lagi penyakit Sinimetukan (Sindrom Niat Melayu Waktu Makan), atau Sinimetunum (Sindrom Niat Melayu Waktu Minum). Belum juga kedengaran Sinimeturak (agaknya waktu bila tu?). Saya belum pasti apa vaksin yang sesuai untuk mengubat penyakit Sinimetulat ini. Mungkin Tun Dr Mahathir punya jawapan kerana beliau sangat arif masalah dan penyakit orang Melayu. Bukankah beliau pernah menulis buku Malay Dilema (Dilema Melayu).

Bagi saya penyakit Sinimetulat yang dihidapi oleh di fulan tadi hingga terjadi peristiwa tidak diingini itu perlu diubati. Mungkin si fulan masih muda dan kurang pengalaman. Kalau diperhati orang-orang Melayu lama, mereka didapati mempunyai kaedah tersendiri untuk menangkap niat ketika solat. Mereka punya gaya atau style yang pelbagai. Dengan kaedah dan gaya mereka ini, mereka tidak perlu melakukan ‘kerja’ penangkapan niat tu banyak kali. Cukup sekali saja, niat sudah mampu dijinakkan. Si fulan patut belajar dengan orang-orang Melayu lama ini.

Di sini saya senaraikan antara gaya atau style penangkapan niat yang diamalkan oleh orang Melayu. Harus diingati gaya atau style ini tiada hak cipta. Ia bebas digunakan oleh sesiapa. Cuma nasihat saya, JANGAN TIRU AKSI INI kerana ia mengandungi virus.

i. Gaya silat – semasa hendak menangkap niat si pengamal gaya ini seperti melakukan lagak seorang pesilat sebelum tangan didakap ke dada. Biasalah orang Melayu, tidak dapat dipisahkan dengan silat hingga dalam solat pun mereka bersilat.
ii. Gaya pemeluk – pengamal gaya ini akan mendepangkan tangannya dan melengkungkannya seperti hendak memeluk sebatang balak yang besar. Kemudian secara perlahan-lahan ditarik ke arah dada. Gaya ini mungkin diwarisi daripada orang Melayu yang bekerja sebagai pembalak.
iii. Gaya hayunan atau dayungan – setelah mengangkat tangan ke telinga, pengamal gaya ini akan menghayunkan kedua-dua belah tangannya di rusuk mereka beberapa kali sebelum di dakap ke dada. Gaya ini tidak syak lagi diwarisi dari generasi Melayu yang banyak terlibat dalam aktiviti di sungai. Sebelum ada enjin, orang Melayu dulu menggunakan dayung atau pengayuh.
iv. Gaya julingan – pengamal gaya ini akan mengangkat tangan ke telinga dan berhenti sebentar di situ sebentar sambil matanya juling ke atas untuk memastikan niat dapat ditangkap dengan tepat. Tidak pasti dari mana gaya ini diwarisi. Cuma saya masih ingat masa kecil anak-anak Melayu di kampung suka melastik burung dan cicak. Agaknya merekalah pelopor gaya ini.
v. Gaya gulungan – gaya ini dilakukan dengan cara menggulung tangan kanan dan kiri di hadapan dada beberapa kali sebelum diletak secara bersama di dada. Menyebut gaya ini, saya pasti ia adalah warisan orang Melayu yang selalu main ‘pangkak gasing’. Sebelum gasing dipusing atau dipangkak ke arah gasing lawan tali perlu digulung dulu di kepala gasing.

Sebenarnya banyak lagi gaya atau style lain dalam masyarakat Melayu ketika mereka hendak menangkap niat waktu solat. Semua gaya tersebut ada kaitan dengan budaya masyarakat Melayu. Saya catatkan beberapa gaya sahaja sebagai contoh. Ingat! DILARANG MENIRU GAYA-GAYA INI. Takut anda dijangkiti penyakit berbahaya, Sinimetulat.

Selasa, 16 September 2008

Wajarkah Wanita Berpolitik?

Hari ini, 15 Ramadhan 1429 saya menjumpai diri saya 9 tahun yang lepas, bertarikh 22 Ramadhan 1420 ketika saya berada di Mesir. Maksud saya, saya menjumpai tulisan saya pada tarikh tersebut yang dipetik satu laman blog. Tulisan saya itu bertajuk Wajarkah Wanita Berpolitik? Secara kebetulan, tulisan tersebut ditulis pada bulan Ramadhan dan saya menjumpainya semula pada bulan Ramadhan, pada ketika saya begitu meragui laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang akan memperjuangkan persamaan gender dalam satu majlis tidak lama dulu.

Ramadhan, seperti yang dimaklumi ramai orang, adalah bulan diturunkan Al-Quran. Jadi, sepatutnya sebagai umat Islam, kita menjadikan bulan mulia ini sebagai masa untuk kita menilai diri sendiri sejauhmana kita menghayati ajaran Al-Quran, bukannya sekadar berlumba untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Al-Quran adalah kitab panduan dan rujukan peraturan dalam semua aspek kehidupan Maka, tajuk artikel Wajarkah Wanita Berpolitik?, seperti mengajak saya untuk menilai persoalan tersebut berdasarkan panduan Al-Quran, bila ia mencuit tumpuan saya 2 hari sebelum tibanya Nuzul Quran (17 Ramadhan). Ya, sebagaimana saya mengupas persoalan tersebut pada Ramadhan 1420, saya cuba untuk membahaskannya kembali pada Ramadhan kali ini.

Untuk mengupas kembali persoalan tersebut, elok saya muatkan kembali artikel saya itu untuk kita sama-sama memikirkannya. Saya rasa, ia masih tetap relevan walaupun beberapa fakta dalam artikel tersebut hanya bersesuaian ketika ia ditulis (tahun 1999).

*****************************

Wajarkah Wanita Berpolitik?

Antara isu yang sentiasa hangat diperkatakan atau evergreen ialah isu wanita. Sejak dulu lagi, isu wanita tidak pernah lapuk malah ia selalu menjadi isu kontroversi walaupun hakikatnya ia bukan kontroversi sekiranya kita melihat dan menilainya dari sudut pandangan syarak. Isu-isu seperti penglibatan wanita dalam politik, isu poligami, pendedahan aurat, pengeksploitasian dan diskriminasi wanita dan seumpamanya sentiasa menjadi tajuk perbincangan yang seolah-olah tidak pernah selesai.

Untuk tidak melebarkan perbincangan, saya hanya ingin menyentuh tentang penglibatan wanita dalam politik. Kebetulan pula negara kita baru selesai mengadakan pilihanraya pada 29 November yang lepas dan keputusannya telah sama-sama kita ketahui. Semasa pilihanraya inilah, pendirian Parti Islam se-Malaysia (PAS) yang tidak meletakkan calon wanita dijadikan modal kempen oleh parpol-parpol yang tidak bersetuju dengan Pas terutamanya UMNO. Pas ditohmah kononnya telah mendiskriminasi golongan wanita kerana menafikan hak mereka.Betulkah begitu?

Sebelum menjawab soalan tersebut, sudah tentu terlebih dahulu kita perlu menjawab persoalan; wajarkah wanita berpolitik? Atau haruskah dan bolehkan wanita berpolitik? Kalau kita memahami maksud politik yang sebenarnya, tanpa ragu-ragu kita akan mengatakan; wajar, harus, boleh bahkan perlu wanita melibatkan diri dalam politik. Orang yang mengatakan wanita tidak boleh berpolitik sebenarnya telah tersilap dalam memahami maksud politik. Mereka ini memahami politik dari sudut yang sempit.

Secara umumnya politik bermaksud hal ehwal yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran sama pengurusan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam aspek yang lebih khusus, kita hari ini lebih melihat bahawa politik ialah yang berkaitan dengan soal-soal kenegaraan, kepimpinan dan bagaimana sesebuah negara itu ditadbir dan juga meliputi hubungan antara sebuah negara dengan negara yang lain. Jadi, penglibatan dalam politik bermakna melibatkan diri dalam menentukan kepimpinan dan corak pentadbiran sesebuah negara.

Kalau begitu, betulkah tohmahan yang mengatakan bahawa tindakan tidak membenarkan wanita menjadi calon dalam pilihanraya adalah menafikan hak wanita untuk berpolitik? Bukankah dengan membenarkan wanita mengundi, berkempen dan merayu undi merupakan sumbangan yang besar dalam menentukan pemimpin dan corak pentadbiran sesebuah negara? Dengan perkataan lain, Pas tidak menafikan hak wanita untuk berpolitik dan tidak juga hak mereka untuk mencorakkan politik negara.

Ternyata tohmahan yang mengatakan Pas mendiskriminasi wanita atau menafikan hak mereka untuk berpolitik semata-mata kerana Pas tidak meletak calon wanita adalah tohmahan daripada orang-orang yang jahil politik.Ataupun mereka faham politik, tetapi sengaja mengambil kesempatan daripada senario tersebut sebagai modal kempen. Ataupun lebih terang dan nyata, orang-orang yang membuat tohmahan tersebut menampakkan bahawa mereka jahil Islam.

Islam tidak menghalang wanita berpolitik malah mewajibkan semua orang Islam supaya mengambil berat aspek politik dalam konteks menentukan pemimpin yang akan memimpin mereka. Menentukan pemimpin bermakna menentukan siapa yang berkuasa dan memerintah negara.Adakah masuk akal sekiranya wanita yang juga merupakan sebahagian daripada golongan yang dipimpin atau diperintah tidak boleh atau tidak diberi hak untuk menentukan siapa yang memerintah mereka?

Kalau wanita tidak boleh berpolitik, kenapa Rasulullah SAW menerima baiah daripada wanita di ‘Aqabah dan Madinah? Kalau wanita tiada hak dalam menentukan siapa pemimpin mereka, bukankah hanya memadai dengan Rasulullah SAW menerima baiah daripada kaum lelaki sahaja tanpa perlu melibatkan wanita? Tetapi yang telah berlaku tidak begitu, bahkan secara jelas disebut dalam surah Mumtahanah ayat 12 bahawa wanita membaiah Rasulullah SAW.
Firman Allah maksudnya, “Wahai Nabi, apabila datang kepadamu wanita-wanita yang beriman untuk mengadakan janji setia (baiah)…………maka terimalah baiah mereka dan mohonkanlah keampunan Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ayat ini menguatkan bahawa baiah wanita berasingan daripada baiah lelaki. Mereka ada hak yang tersendiri. Perintah Allah kepada Nabi SAW supaya menerima baiah mereka menunjukkan penglibatan wanita penting dan perlu.

Jadi, ayat ini menjadi dalil bahawa wanita boleh mengundi dan mereka ada hak untuk mengundi bagi menentukan pemimpin yang akan memerintah mereka. Penafian terhadap wanita dalam menentukan pemimpin mereka atau menentukan wakil mereka dalam parlimen atau majlis syura sesebuah negara bukan sahaja menafikan hak, malah menafikan kewajipan. Dalam hal ini, pada pandangan saya, keputusan sidang Majlis Negara Kuwait baru-baru ini yang tidak membenarkan wanita mengundi, tidak sepatutnya berlaku.

Melantik pemimpin adalah wajib dan wajib melantik pemimpin dari kalangan orang-orang beriman yang tidak cenderung kepada kekufuran. Tidak mungkinkah mengundi menjadi wajib sekiranya itulah wasilah dalam menentukan pemimpin yang sesuai dengan perintah Allah SWT. Kaedah feqh menyebut, “Sesuatu perkara yang tidak sempurna perkara wajib kecuali dengannya (perkara tersebut), maka perkara itu menjadi wajib.”

Cuba kita bayangkan, sekiranya golongan yang mendukung perjuangan Islam dan bermatlamatkan menegakkan syariat Islam tidak membenarkan wanita mengundi tetapi sebaliknya golongan yang menentang mereka (menentang perjuangan Islam) memberi kebebasan kepada wanita mereka untuk mengundi? Apakah yang akan berlaku? Bukankah ini satu mudharat kepada Islam dan bukankah kemudharatan itu wajib dicegah?

Kalau tidak mengundi menyebabkan mudharat dan mudharat wajib dicegah, maka, pencegahan kepada mudharat iaitu membenarkan wanita mengundi, menjadi wajib.Berhubung dengan pilihanraya juga, saya ingin menyentuh tentang pencalonan wanita sebagai wakil rakyat. Ini termasuk juga pelantikan wanita sebagai menteri kerana biasanya menteri dilantik daripada wakil rakyat yang mewakili sesuatu kawasan parlimen atau dilantik terus daripada ahli Dewan Negara (senator).

Persoalan yang ingin saya ketengahkan di sini ialah, wajarkah atau haruskah wanita menjadi wakil rakyat atau menjadi menjadi menteri? Dalam persoalan ini, saya bukannya hendak mengeluarkan fatwa atau memutuskan hukum tetapi sekadar memberikan pandangan selagimana ruang untuk berbicara dan berbincang secara ilmiah terbuka luas tanpa unsur taasub dan emosi. Pendapat saya dalam hal ini, secara peribadi saya tidak bersetuju wanita menjadi wakil rakyat (sudah tentu dengan meletakkan calon wanita dalam pilihanraya) dan juga menjadi menteri. Pendapat saya ini adalah dalam konteks negara kita, Malaysia.

Kalau kita menganggap bahawa wakil rakyat, sama ada peringkat Parlimen (Dewan Rakyat) atau Dewan Undang Negeri (DUN) adalah pemimpin bagi penduduk yang diwakili olehnya secara wilayah ‘ammah, maka tidak harus wanita menduduki tempat tersebut, kerana sudah tentu dia juga pemimpin kepada kaum lelaki di kawasan yang diwakili olehnya. Tidak adakah lelaki yang layak? Dalam solat sebagai contoh, wanita boleh jadi imam sekiranya lelaki yang ada tidak layak seperti gila dan seumpamanya.

Kalau kedudukan wakil rakyat hanyalah sebagai wakil bagi menyuarakan masalah penduduk bagi kawasan yang diwakilinya olehnya dan juga hal ehwal yang berlaku di kawasan tersebut dalam sidang Dewan Rakyat (DR) atau DUN dan tanggungjawab lain wakil rakyat, ternyata tugas tersebut tidak sesuai bagi wanita. Tidak ada maslahah atau keperluan dharuri yang memerlukannya menjadi wakil rakyat kerana tugas tersebut ternyata lebih sesuai dilakukan oleh lelaki.

Kalau hujah mereka yang mengatakan wanita perlu menjadi wakil rakyat (di Malaysia) atas dasar untuk menyuarakan pandangan wanita dalam parlimen khususnya dalam membela hak-hak mereka, sebenarnya wakil rakyat lelaki yang memahami Islam lebih membela wanita daripada wakil rakyat wanita yang jahil Islam. Jadi, kita tidak perlu wakil rakyat wanita untuk tujuan membela wanita kerana tugas tersebut boleh dilakukan oleh lelaki.

Dari aspek lain, tugas seorang wakil rakyat bukan semata-mata bercakap di DR, tetapi dia perlu keluar menemui rakyat, bergaul dengan mereka bagi mengetahui masalah mereka, seterusnya berfikir dan mencari penyelesaiannya. Wakil rakyat, menjadi tempat rakyat untuk mengadu masalah dan memohon peruntukan pembangunan dan lain-lain. Pendek kata, wakil rakyat perlu mengambil berat hal ehwal rakyat yang diwakili olehnya dan juga bertanggungjawab terhadap apa-apa yang berlaku di kawasannya. Kalau tidak, bagaimana dia hendak menyuarakannya dalam sidang DR atau DUN.

Bagaimana seorang wanita yang menjadi wakil rakyat memikul tanggungjawab sebegini rupa dan dalam masa yang sama dia perlu memikirkan tanggungjawab terhadap rumahtangganya. Pada ketika dia memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan suri rumah dan memikirkan masalah-masalah yang berkaitan, wakil rakyat wanita juga menjadi ‘bapa’ kepada rakyat yang diwakili olehnya dan bertanggungjawab memikirkan masalah mereka. Dalam keadaan itu, amat sukar untuk memastikan salah satu daripada tugas tersebut tidak terjejas.

Tugas dan tanggungjawab utama wanita ialah rumahtangga. Wanita dicipta dan difitrahkan oleh Allah SWT dari segi biologi dan psikologinya yang berbeza dengan lelaki supaya sesuai dengan tugasnya sebagai suri rumah. Perbezaan antara lelaki dan wanita ini bukannya sia-sia. Kejadian lelaki, sama ada dari aspek fizikal dan mental disesuaikan untuk melakukan tugas-tugas berat yang bersifat luaran, manakala wanita dijadikan dengan sifat yang lebih halus dan lembut daripada lelaki disesuaikan untuk melakukan tugas-tugas keibuan dan kesurirumahtanggaan yang bersifat dalaman.

Inilah yang dinamakan sebagai keseimbangannya dan pembahagian tugas sesuai dengan sifat dan kemampuan masing-masing. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah tugas wakil rakyat bukannya tugas wanita dan bukan keutamaannya kerana tidak sesuai dengan fitrah mereka dan juga wanita perlu menumpukan tugas sebagai suri rumahtangga kerana itulah keutamaan mereka. Tugas wanita sebagai rabbatul bait (suri rumahtangga) akan dipertanggungjawabkan dan akan ditanya oleh Allah SWT kerana itulah tanggungjawab khusus bagi mereka.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Setiap seorang daripada kamu adalah pemimpin (penanggungjawab) dan setiap kamu akan disoal (dipertanggungjawabkan) tentang apa yang dipimpin olehnya. Ketua adalah pemimpin dan lelaki adalah pemimpin ahli keluarganya dan wanita adalah pemimpin terhadap rumahtangga suami dan anak-anaknya, maka setiap kamu adalah pemimpin dan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin olehnya (Muttafaq ‘alaih).

Jadi, sekiranya tugas menjadi wakil rakyat menyebabkan seseorang wanita itu mengabaikan tugas dalam rumahtangga, pasti ia merupakan satu dosa kerana telah mengabaikan tanggungjawabnya yang sewajibnya dilakukan. Tugas menjadi wakil rakyat adalah berat dan sekali-sekala akan menyebabkan tekanan. Sudah tentu ini akan menjejaskan tumpuan seseorang wanita terhadap rumahtangganya.

Lainlah halnya kalau wakil rakyat wanita itu tidak ambil hirau langsung tentang rakyat yang diwakili olehnya. Kalau begitu apa faedahnya dia menjadi wakil rakyat kalau tidak mengambil tahu masalah dan keperluan rakyat. Begitu juga sebaliknya, iaitu seorang wanita itu tidak mahu memikul tanggungjawab rumahtangga dengan cara tidak mahu menjadi isteri dan ibu. Maksudnya, tidak perlu berumahtangga. Tetapi, adakah ini yang diajar oleh Islam yang menggalakkan perkahwinan dan beranak ramai bagi menguatkan Islam?

Bagaimana pula sekiranya wanita menjadi menteri? Tentulah tugasnya lebih berat daripada wakil rakyat biasa kerana terpaksa memikul dua tugas secara serentak; sebagai wakil rakyat dan sebagai menteri. Sudah tentu ini akan lebih menjejaskan tanggungjawabnya terhadap rumahtangga dan mungkin akan menyebabkan krisis disebabkan tanggungjawab yang terabai. Tugas sebagai wakil rakyat dan menteri menyebabkan seseorang wanita selalu keluar meninggalkan rumah bagi melakukan tugas-tugasnya. Tugas utama melayan suami dan anak-anak ditinggalkan dan diserahkan kepada pembantu. Bagi saya, dalam keadaan itu lebih baik isteri mempunyai madu daripada mempunyai pembantu. Suami tetap mendapat layanan isteri dan anak-anak pula, tetap sentiasa bersama ‘ibu’.

Kesimpulannya, penglibatan wanita dalam politik bukanlah semata-mata dengan menjadi calon dalam pilihanraya. Tugas sebagai wakil rakyat tidak sesuai bagi wanita. Medan politik utama wanita adalah rumahtangga. Di situlah peranan dan tanggungjawab politik mereka. Kejayaan politik wanita ialah kejayaan mereka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumahtangga.

Wallahua’alam.

Wan Zaidel Wan Shekh
22 Ramadhan 1420 / 30 Disember 1999