Sabtu, 14 Mac 2009

Sila ke blog ekonomi dan kesihatan saya

Pada masa ini, saya telah membina dan menerbitkan dua blog iaitu blog ini, alfaqirilallah dan blog bcitijarah. Blog al-faqirilallah ini saya khususkan untuk catatan-catatan yang berkaitan ilmu, fiqh dan fikrah (buah fikiran /pemikiran) yang berkait dengan isu-isu semasa. Manakala blog bcitijarah saya khususkan untuk catatan-catatan yang berkaitan dengan ekonomi dan kesihatan. Bagi yang berminat dengan isu ekonomi dan kesihatan serta ingin mengetahui produk-produk halal keluaran muslim boleh terus ke blog ini http://bcitijarah.blogspot.com/. Terdapat juga pautannya di atas kanan blog saya ini beserta catatan terkininya.

Isnin, 9 Mac 2009

Kita ibarat tasik dan sungai-sungai
















Selepas Maghrib malam tadi, saya meluangkan masa mengikuti tazkirah atau bayan yang disampaikan oleh salah seorang ahli jemaah tabligh di Masjid Nurul Iman, Taman Pantai Lok Kawi. Walaupun penyampainya seorang pelajar, dan menurutnya katanya, dia baru belajar bercakap di depan khalayak dan awal-awal lagi dia menyatakan bahawa majlis tersebut bukanlah majlis ilmu kerana dia bukan orang berilmu, sebenarnya ada ilmu yang dia sampaikan.

Ada yang positif yang boleh dipelajari daripada pelajar tersebut. Walaupun dia bercakap secara bersahaja dan bersembang serta tersekat-sekat, namun keberanian dia untuk bercakap di depan khalayak dan mahu belajar menyampaikan kuliah, harus dipuji. Tidak ada orang yang dilahirkan terus pandai dan ada kemampuan melakukan sesuatu perkara melainkan melalui proses pembelajaran. Maka, apabila belajar sudah pasti ada kelemahan dan kesilapan. Sebarang kelemahan dan kesilapan itu merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran.

Satu ilmu yang saya dapat daripada tazkirah pelajar tersebut ialah, perumpamaan yang dia berikan mengenai hubungan diri kita dengan segala pancaindera kita. Badan kita ini ibarat tasik dan semua pancaindera seperti mata, telinga, lidah dan lain-lain ibarat sungai-sungai yang mengalir ke tasik tersebut. Jika semua sungai-sungai yang mengalir ke tasik tersebut bersih, maka air tasik tersebut pasti juga bersih. Sebaliknya, jika salah satu saja sungai yang mengalir ke tasik tersebut kotor, tercemar dan airnya kotor sudah pasti ia akan mengotori dan mencemari tasik tersebut, walaupun air dari sungai-sungai yang lain bersih.

Maka, untuk menjadikan tasik benar-benar bersih, semua sungai-sungai yang mengalir ke arahnya perlu dipastikan bersih. Begitu juga dengan diri kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan segala anggota dan pancaindera kita sentiasa baik, dalam erti kata menggunakannya untuk kebaikan dan memeliharanya daripada melakukan kejahatan. Kalau sebahagian saja kita jaga, sebahagian yang lain akan mencemari diri kita atau mempengaruhi keperibadian kita. Malah, kejahatan atau dosa yang dilakukan akan merosakkan kebaikan dan pahala yang dilakukan.

Kadang-kadang kita ada mendengar kata-kata seperti, "walaupun saya ini tidak bertudung (tidak menutup aurat), tapi saya baik hati, saya tetap bayar zakat, bantu orang susah." Perkara yang baik tetap kita puji, tetapi di sisi Allah SWT, kewajipan kita bukan hanya pada satu perkara sahaja. Tidak wajar bagi seseorang yang beriman, melakukan sebahagian kewajipan manakala sebahagian lagi ditinggalkan. Kita bimbang sekiranya kebaikan yang kita lakukan itu dicemari dengan kejahatan yang kita lakukan sehingga kita tetap dipandang sebagai seorang yang 'kotor' walaupun ada kebaikan yang kita lakukan. Wallahua'alam.

Ahad, 8 Mac 2009

Demi bahasa dan anak bangsa, mereka bersuara

Hati saya tersentuh apabila melihat orang tua seperti Pak Samad (SN A. Samad Said) turut sama menanggung kepedihan akibat tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis ketika perhimpunan 100, 000 membantah PPSMI. Tentu kita bertanya, kenapakah orang tua seperti Pak Samad, Datuk Hasan Ahmad dan lain-lain yang sudah berada di penghujung usia turut sama bersesak-sesak bersama orang ramai, menanggung risiko kesakitan dan kepedihan akibat gas pemedih mata pihak polis dan kemungkinan ditangkap atau dikenakan tindakan undang-undang.
Kenapa mereka begitu bersemangat bersama-sama orang ramai mahu supaya PPSMI dihapuskan dan dikembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu? Orang tua seperti Pak Samad sudah melalui pelbagai liku kehidupan dengan segala pahit manisnya. Kenapakah beliau tidak berehat saja di rumah memandang usia yang lanjut dan tenaga yang kurang. Biarlah saja orang-orang muda yang berdemonstrasi kerana mereka lebih bertenaga. Sudah pasti ada sebabnya.

Generasi lama seperti Pak Samad, Datuk Hasan Ahmad, Dinsman dan tokoh-tokoh bahasa dan sasterawan yang lain, turut sama berhimpun dan berdemonstrasi adalah demi anak bangsa mereka dan generasi yang bakal menggantikan mereka. Tiada apa-apa kepentingan peribadi di situ. Mereka tidak diupah untuk berhimpun atau dijanjikan ganjaran tertentu atau dianugerahkan gelaran serta diberi kedudukan istimewa. Malah mereka turun, merendahkan diri (dengan status mereka sebagai tokoh yang dikenali dan dihormati) dengan bersesak bersama orang ramai, disembur dengan air dan ditembak pemedih mata oleh polis serta menghadapi risiko kecederaan, penahanan dan sebagainya.

Setelah PPSMI dilaksanakan hampir 6 tahun sudah nampak kepincangan dan kesan negatifnya kepada anak bangsa kita khususnya pelajar-pelajar luar bandar dan pedalaman. Mereka menjadi mangsa. Peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran dibataskan dengan PPSMI. Malah, keperluan yang paling asas, iaitu untuk mendapatkan ilmu matematik dan sains yang boleh mereka apalikasikan dalam kehidupan mereka tidak tercapai kerana ilmu tersebut diajar dalam bahasa yang asing bagi mereka. Ilmu yang dipelajari adalah untuk diaplikasi atau digunakan dalam menjalani kehidupan. Apa maknanya, kalau untuk mendapat sesuatu ilmu menjadi sukar kerana dihalang oleh bahasa. Bahasa adalah alat. Alat untuk mendapat ilmu. Jadi, alat perlu sesuai.

Contohnya, untuk menangkap sesuatu jenis ikan kita perlu menggunakan jaring yang sesuai supaya ikan tersebut terus melekat pada jaring. Tapi, kalau kita menggunakan jaring yang tidak sesuai, terlalu jarang atau terlalu rapat, sukar untuk mendapat ikan yang kita kehendaki. Mungkin dapat juga, tetapi hasilnya sikit dan tidak memuaskan hati. Atau kemungkinan kita akan mendapat ikan yang lain, yang kita tidak kehendaki.

Begitulah halnya dengan PPSMI. Ia adalah jaring yang salah. Anak-anak bangsa kita hendak makan ikan kerana ikan memang diperlukan untuk kehidupan mereka. Tapi malangnya, mereka diberi jaring yang tidak sesuai, atau mata kail yang terlalu besar hingga ikan susah nak sangkut. Bertungkus lumuslah mereka menjaring atau memancing setiap hari demi mendapatkan ikan kerana mereka kelaparan. Mereka bukan setakat menghadapi kesukaran air yang deras, cuaca yang tidak menentu, pancaran panas matahari dan lain-lain, malah kesukaran tersebut bertambah-tambah disebabkan jaring atau kail yang tidak sesuai. Bayangkan kalau anda berada di tempat tersebut.
Saya menggunakan contoh jaring dan ikan kerana saya pernah mengalami kehidupan bersama ayah yang bekerja menangkap ikan. Ayah saya menangkap ikan setiap hari atau selang beberapa hari untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Di samping dimakan, ikan-ikan dan juga udang yang diperolehi akan dijual sebagai sumber pendapatan. Selain itu, ayah juga menanam padi dan berkebun kelapa. Setiap kali cuti sekolah, saya dan adik-adik akan membantu ayah, sama ada di kebun, huma atau di sungai (Batang Sadong).
Ketika bersama-sama ayah, sudah menjadi kebiasaan ayah akan menurunkan ilmunya berkaitan dengan ikan, alat yang digunakan, keadaan air, tempat yang sesuai dan lain-lain. Ilmu-ilmu tentang ikan dan alat yang digunakan itu penting kerana tanpa ilmu atau pengetahuan tersebut, hasil yang diperolehi tidak seberapa. Alat menangkap ikan yang digunakan mesti sesuai dengan ikan yang hendak ditangkap. Canggih macamana sekalipun alat yang digunakan, ia tidak bermakna atau tidak bermanfaat kalau tidak sesuai atau tidak tahu menggunakannya.
Behubung dengan PPSMI, ia bukan setakat tidak membantu malah boleh dikatakan menzalimi sebahagian besar anak-anak bangsa, khususnya yang berada di luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak. Contohnya, saya mengajar di Sabah, di salah sebuah sekolah pedalaman (walaupun dekat Kota Kinabalu kerana faktor geografi dan penduduknya). Untuk makluman, tahap akademik pelajar-pelajar di sini ini memang rendah, malah satu ketika 20 peratus pelajar tingkatan satu tidak pandai membaca. Bukan setakat bahasa Inggeris, malah bahasa Melayu pun mereka belum menguasainya lagi.
Ketika ujian pengesanan bagi mata pelajaran matematik dan sains yang sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris saya kasihan melihat pelajar-pelajar Tingkatan Satu yang saya awasi. Setelah kertas-kertas soalan diedarkan, saya melihat pelajar-pelajar di kelas yang pelajarnya melebihi 30 orang itu, terkebil-kebil dan seperti melihat kertas kosong saja. Mereka tidak tahu apa-apa. Akhirnya, kertas soalan yang perlu dijawab dalam tempoh 1 jam itu, siap dalam masa 15 minit saja.
"Ustaz! Dah siap," seorang pelajar bersuara. Saya melihat jam. Baru 15 minit. Adakah mereka terlalu pandai? Pastinya tidak, kerana mereka hanya 'menembak' semua soalan yang berbentuk aneka pilihan tersebut.
Saya harap mereka menembak jawapan sahaja. Jangan ada nanti, ada yang hendak menembak kepala orang-orang yang masih 'bangang' dan 'bengong' serta berkepala batu, yang masih mahu mempertahankan PPSMI. Maaf, saya berbahasa kasar.
"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," kata SN A. Samad Said, sambil mengesat matanya yang pedih akibat tembakan pemedih mata pihak polis.