Isnin, 9 Mac 2009

Kita ibarat tasik dan sungai-sungai
















Selepas Maghrib malam tadi, saya meluangkan masa mengikuti tazkirah atau bayan yang disampaikan oleh salah seorang ahli jemaah tabligh di Masjid Nurul Iman, Taman Pantai Lok Kawi. Walaupun penyampainya seorang pelajar, dan menurutnya katanya, dia baru belajar bercakap di depan khalayak dan awal-awal lagi dia menyatakan bahawa majlis tersebut bukanlah majlis ilmu kerana dia bukan orang berilmu, sebenarnya ada ilmu yang dia sampaikan.

Ada yang positif yang boleh dipelajari daripada pelajar tersebut. Walaupun dia bercakap secara bersahaja dan bersembang serta tersekat-sekat, namun keberanian dia untuk bercakap di depan khalayak dan mahu belajar menyampaikan kuliah, harus dipuji. Tidak ada orang yang dilahirkan terus pandai dan ada kemampuan melakukan sesuatu perkara melainkan melalui proses pembelajaran. Maka, apabila belajar sudah pasti ada kelemahan dan kesilapan. Sebarang kelemahan dan kesilapan itu merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran.

Satu ilmu yang saya dapat daripada tazkirah pelajar tersebut ialah, perumpamaan yang dia berikan mengenai hubungan diri kita dengan segala pancaindera kita. Badan kita ini ibarat tasik dan semua pancaindera seperti mata, telinga, lidah dan lain-lain ibarat sungai-sungai yang mengalir ke tasik tersebut. Jika semua sungai-sungai yang mengalir ke tasik tersebut bersih, maka air tasik tersebut pasti juga bersih. Sebaliknya, jika salah satu saja sungai yang mengalir ke tasik tersebut kotor, tercemar dan airnya kotor sudah pasti ia akan mengotori dan mencemari tasik tersebut, walaupun air dari sungai-sungai yang lain bersih.

Maka, untuk menjadikan tasik benar-benar bersih, semua sungai-sungai yang mengalir ke arahnya perlu dipastikan bersih. Begitu juga dengan diri kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan segala anggota dan pancaindera kita sentiasa baik, dalam erti kata menggunakannya untuk kebaikan dan memeliharanya daripada melakukan kejahatan. Kalau sebahagian saja kita jaga, sebahagian yang lain akan mencemari diri kita atau mempengaruhi keperibadian kita. Malah, kejahatan atau dosa yang dilakukan akan merosakkan kebaikan dan pahala yang dilakukan.

Kadang-kadang kita ada mendengar kata-kata seperti, "walaupun saya ini tidak bertudung (tidak menutup aurat), tapi saya baik hati, saya tetap bayar zakat, bantu orang susah." Perkara yang baik tetap kita puji, tetapi di sisi Allah SWT, kewajipan kita bukan hanya pada satu perkara sahaja. Tidak wajar bagi seseorang yang beriman, melakukan sebahagian kewajipan manakala sebahagian lagi ditinggalkan. Kita bimbang sekiranya kebaikan yang kita lakukan itu dicemari dengan kejahatan yang kita lakukan sehingga kita tetap dipandang sebagai seorang yang 'kotor' walaupun ada kebaikan yang kita lakukan. Wallahua'alam.

Tiada ulasan: